Saturday, July 26, 2008


Mahathir seru ahli Umno 'paksa' Abdullah letak jawatan segera


KUALA LUMPUR, 26 Julai (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru ahli dan pemimpin Umno supaya 'memaksa' Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya segera bagi memulihkan Umno dan BN. "Janganlah tunggu Pilihan Raya Umum ke-13 untuk kalahkan BN dan Umno supaya Abdullah jatuh. Yang salah bukan BN atau Umno. Yang salah ialah Abdullah," katanya dalam satu komentar yang tersiar dalam lama web beliau hari ini. "Jika ahli Umno hendak melihat parti dan BN dipulih semula, 'paksalah' Abdullah letak jawatan sekarang. Jangan calon Abdullah di peringkat cawangan atau bahagian," katanya. Jika kerana cawangan dan bahagian mengizinkan Abdullah terus menjadi Presiden Umno, yang salah ialah ahli Umno sendiri, katanya. Mahathir mendakwa bahawa beliau masih dipersoal setiap kali mengeluarkan kritikan terhadap Abdullah.

Tiap kali saya mengkritik Abdullah sebagai Perdana Menteri ada sahaja orang yang secara sinis berkata, "Awak yang lantik dia"," kata Dr Mahathir dalam ulasan terkininya berhubung pergeseran antara beliau dan Abdullah. "Ya, saya mengaku salah. Saya mengaku yang saya lantik Abdullah sebagai pengganti saya. Tetapi ahli Umno juga pilih Abdullah," ujarnya sinis. Abdullah pernah sebelahi Ku Li lawan Mahathir Menurut Dr Mahathir, Abdullah memihak kepada Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dan Musa Hitam dalam usaha untuk menjatuhkan beliau pada tahun 1986-1987.


"Apabila Team B kalah dan Umno diharamkan, Abdullah tidak menyertai Semangat 46 tajaan Ku Li. Sebaliknya dia pilih untuk menjadi ahli Umno baru yang saya pimpin. "Saya tidak berhak menolaknya sebagai ahli Umno Baru. Tetapi saya gugurkannya daripada Jemaah Menteri," katanya. Dalam pemilihan Majlis Tertinggi yang menyusul Abdullah bertanding untuk ahli Majlis Tertinggi, dan ketika itu katanya Mesyuarat Agung Umno memilih Abdullah sebagai ahli Majlis Tertinggi. "Saya masih tidak terima dia balik jadi Menteri. Di Mesyuarat Agung selepas itu dia bertanding untuk jawatan Naib Presiden. Dia menang dengan undi kedua terbesar jumlahnya berbanding Dato' Seri Najib Tun Razak. "Saya berpendapat Umno hendakkan kepimpinan Abdullah. Walau apa pun perasaan saya terhadap orang yang bersubahat untuk jatuhkan saya, saya tidak berhak untuk menolak kehendak Umno," katanya.


Justeru itu ujar Mahathir, beliau kembalikan Abdullah sebagai Menteri dalam Kabinet. Dari 'Mr Clean' kepada pemimpin yang lemah "Puji-pujian didengar merata-rata yang Abdullah adalah "Bersih", "Mr Clean". Oleh itu apabila saya terpaksa gugurkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya pilih Abdullah untuk mengisi jawatan itu walaupun Najib adalah Naib Presiden yang mendapat undi tertinggi," katanya.
Kenapa tidak dipilih Najib? Menurut Mahathir, beliau tidak memilih Najib kerana TPM itu lebih muda dan beliau berharap selepas satu atau dua penggal sebagai Perdana Menteri, Abdullah akan serahkan jawatan itu kepada Najib. Kerana itu katanya beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk menentukan Abdullah pilih Najib sebagai timbalannya. "Pemilihan Naib Presiden bukan yang pertama sebagai timbalan pernah berlaku. Saya Naib Presiden yang ke-tiga tetapi Tun Hussein Onn pilih saya jadi Timbalan Perdana Menteri.


"Seperti juga dengan diri saya, Mesyuarat Agung Umno mengesahkan pemilihan Abdullah sebagai Timbalan Presiden parti dalam pemilihan yang berikut," katanya. Selepas itu beliau anggap penyerahan kuasa kepada Abdullah bukanlah sesuatu yang tidak dikehendaki oleh Umno dan ketika itu tiada sesiapa yang membantah. "Saya jelaskan latarbelakang pemilihan Abdullah sebagai Perdana Menteri bukan kerana hendak bersihkan diri saya. Saya rela dihukum jika saya salah. "Yang penting bagi saya ialah apabila kita lakukan sesuatu yang salah, menuding jari tidak mendatangkan apa-apa faedah. "Yang penting ialah kita cuba betulkan keadaan. Dalam perkara ini pendapat saya ialah Abdullah perlu letak jawatan dengan sendirinya atau dia disingkir," tegasnya.
Kerosakan yang dibuat Abdullah terhadap Umno teruk
Malah kata Mahathir, kenyataan Abdullah bahawa beliau kan serahkan jawatan dalam parti dan kerajaan pada bulan Jun 2010 disambut baik bahkan dengan gembira oleh hadirin serta orang ramai, Melayu dan bukan Melayu. "Tiada siapa yang merayu supaya dia teruskan pimpinannya. Dari ini agak jelas yang semua pihak hendak Abdullah letak jawatan. "Tetapi meletak jawatan dua tahun dari sekarang bermakna penggantinya hanya mempunyai dua setengah tahun untuk pulihkan parti untuk hadapi Pilihan Raya Umum ke-13. "Masa ini terlalu singkat kerana kerosakan yang dibuat oleh Abdullah kepada Umno, Barisan Nasional dan parti-parti komponennya amat teruk. Masa yang lebih panjang diperlukan," katanya.


Jika Abdullah benar-benar sayang kepada Umno, Mahathir menyeru supaya Abdullah rela korban dirinya untuk penggantinya berpeluang memulihkan Umno. Alasannya bahawa Abdullah ingin mengawasi pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-9 tidak boleh diterima kerana sesungguhnya kehadiran Presiden Umno itu menyebabkan Umno dan Barisan Nasional jadi lemah, kata Mahathir lagi. Beliau seterusnya mengakui kesilapan kerana memilih Abdullah sebagai penggantinya pada tahun 2003 lalu 'Mr Clean' tidak begitu 'clean' "Sekarang saya menyesal kerana saya tidak sangka "Mr Clean" tidak begitu clean. Saya percaya ahli dan pemimpin-pemimpin Umno di semua peringkat yang marah saya tentu tidak ingin membuat kesalahan yang sama," katanya. Hari ini yang berkuasa menggantikan Abdullah hanyalah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno, katanya.
Ahli Umno akan bertanggungjawab terhadap kehancuran dan malapetaka yang akan menimpa orang Melayu dan negara Malaysia, katanya.


Setelah mengetahui kekalahan teruk yang menimpa Umno dan BN di bawah kepimpinanAbdullah, Umno masih kekalkan kepimpinannya, yang bertanggungjawab dan salah ialah ahli dan pemimpin-pemimpin Umno sendiri," ujarnya. /wann _

Monday, July 21, 2008


Anwar serah 8 dokumen pada BPR babitkan

Gani dan Musa


Roy Rasul


KUALA LUMPUR, 21 Julai (Hrkh) � Ketua Umum Parti KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyerahkan lapan dokumen kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di ibu pejabatnya di Putra Jaya hari ini berhubung dakwaannya terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan pasukan mereka.Dakwanya, Gani Patail dan Musa terlibat memalsukan keterangan beliau dipukul oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor pada 1998. Anwar yang bercakap kepada kira-kira 50 wakil media yang menunggunya di luar pintu di Bangunan BPR sejak 10 pagi tadi berkata beliau, turut membawa kes jenayah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Nor terhadapnya. Selain itu katanya, beliau juga mengemukakan dokumen mengenai ujian DNA beliau yang diambil pada tahun 1998 untuk menghina beliau. "Saya berpuas hati kerana BPR mencatat semua keterangan dengan profesional dan mereka meminta dokumen dan saya berikan semua dokumen yang ada di tangan saya," katanya yang ditemani dua peguamnya, Sivarasa Rasiah dan Dato' Parakumarasan.


Beliau memberi keterangan selama lebih tiga jam kepada BPR. Anwar yang hadir di Ibu Pejabat BPR pada jam 9.30 pagi tadi memberi keterangan kali kedua selepas beliau hadir pada Rabu lepas berhubung laporan polis dibuatnya 1 Julai lalu. Beliau memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. Dalam pada itu, ditanya mengenai fail saman RM5 juta terhadapnya oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan, hari ini, berkata beliau dengan senang hati beliau akan berhadapan kes tersebut di mahkamah. Dalam sidang media yang sama, Anwar menafikan beliau "mempolitikkan" isu beliau dibogel ketika menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagaimana didakwa Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar.


"Saya ditelanjang sewaktu pemeriksaan doktor dan kemaluan saya diukur. "Saya diminta mengisi "borang mangsa rogol" di HKL minggu lepas semasa saya dibawa polis untuk pemeriksaan dalam siasatan dakwaan meliwat pembantu saya," ulanginya mengenai dakwaan beliau dibogel oleh HKL baru-baru ini. Sementara itu, bercakap mengenai isu muzakarah PAS dan Umno, katanya, beliau menerimanya dengan baik. Bagaimanapun katanya, beliau menyerahkan isu tersebut kepada Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail. - mks._

Muzakarah PAS-UMNO: Usah Terjerat Dengan Kepentingan Duniawi


Oleh GB


Tersentak juga apabila membaca kenyataan media oleh Presiden PAS yang mengakui bahawa telah wujud pertemuan antara pimpinan tertinggi parti dengan YAB Perdana Menteri yang juga selaku Presiden Umno, bagi membincangkan isu-isu kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu. Ia merupakan pengesahan kepada dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa muzakarah bersama Pas telah diadakan sebanyak tiga kali bagi membincangkan beberapa isu berkaitan dengan keagamaan dan orang Melayu.


Menurut kenyataan media Presiden PAS, perjumpaan pertama dengan YAB Perdana Menteri berlaku sejurus selepas PRU ke 12 yang lalu yang melibatkan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa; Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustapha Ali dan ahli parlimen Shah Alam, YB Hj Abd Khalid Samad. Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS. Dimaklumkan juga bahawa Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam. Sehubungan dengan ketetapan itu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang melibatkan Timbalan Presiden PAS dan YAB Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulamak. Dan kenyataan media itu pula diakhirkan dengan perenggan berbunyi "PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia. " Tuan Guru Nk Abdul ziz selaku Mursyidul AM PAS telah memberikan responnya dengan satu peringatan tegas "Kalau kita ambil kesempatan berunding pula dengan UMNO, jahanam habislah.. bahkan Muktamar PAS yang bakal diadakan di Perak Ogos depan akan menjadi medan mengamuk penyokong." Meninjau tulisan akhi SP wbemaster TKO, "Saya lebih suka mengatakan kenyataan Presiden adalah menepati keputusan Syura dan Dewan Harian. Pandangan peribadi saya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak bersetuju, walaupun majlis bersetuju. Banyak kenyataan media beliau adalah pandangan peribadi beliau sebagai seorang yang lama dalam PAS dan juga Muryidur Am." Jika GB berada sepejabat dengan SP sewaktu mengendalikan laman TKO ini, ada kemungkinannya berlaku perdebatan atau percanggahan pendapat yang ketara di antara kami berdua - satu keadaan yang sama yang pernah dibaakngkan oleh akhi Din Cryptos seaktu menjadi webmaster TKO ini yang bertangungjawab membawa GB menjadi seorang PWM.


Namun perbezaan pendapat sedemikian perlu dilihat dari sudut yang positif, supaya hasilnya turut positif jugak. Dan apabila GB menyatakan demikian sepastinyalah pembaca TKO dapat menyelami bahawa memang akan wujud perbezaan pandanan GB dengan pandagan peribadi akhi SP seperti yang di boldkan di atas. GB adalah penyokong PAS dari generasi zaman sebelum PAS menyertai Barisn Nasional pada tahun 1970 lagi. Dan telah mengikuti perkembangan politik Parti Islam SeMalaysia, aktif bersamanya sehingga kini meskipun di dalam cara yang tersendiri. OK kembali kepada isu sebenar. Pertama, di dalam kenyataan media Presiden PAS pada awalnya telah dinyatakan bahawa Pertemuan ini telah pun dilaporkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak PAS. Dimaklumkan juga bahawa Majlis Syura Ulamak PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam. Ironinya, di dalam ayat terakhir kenyataan media Presiden dinyatakan: "PAS bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia. " Ternyata terdapat perbezaan yang ketara di antara keputusan Majlis Syura Ulamak PAS yang merestui pimpinan PAS bagi mempertingkatkan usaha bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam dengan apa yang dilakukan oleh pimpinan yang bersedia bagi menjayakan muzakarah dengan Umno ini demi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia" Yang saya boldkan itu TIDAK disentuh (tidak direstui?) oleh Majlis Syura Ulamak dan seperti seolah-olah restu Majlis Syura Ulamak dikhianati.


Kedua, di dalam isu sebesar in, pimpinan PAS TELAH menjalankan pertemuan terlebih dahulu kemudian memaklumkan kepada Majlis Syura Ulamak PAS yang pada sudut pandang saya adalah ternyata silap dari sudut tatacara berorganisasi. Kerana sepatutnya kebenaran dan restu diperolehi terlebih dahulu SEBELUM sebarang pertemuan dan rundingan oleh mana-mana pimpinan PAS dengan UMNO boleh dilakukan. Tetapi yang berlaku ialah pertemuan dan perundingan telah berjalan, Majlis Syura Ulamak dimaklumkan kemudian. Jelas peranan Majlis Syura Ulamak dikesampingkan malah dilacurkan pada peringkat awal dan apa juga langkah selepasnya yang diambil oleh pimpinan PAS dengan pembelakangan tersebut adalah terbatal dan perlu ditolak. Meninjau bagaimana PAS era kepimpinan ulamak dinaikkan saya khuatir perkara yang sama berlaku di dalam muktamar PAS yang akan datang ini. Ahli-ahli PAS yang terdiri dari kaum muda menjadi indikator dalam usaha menjatuhkan kepimpinan Dato Asri pada Oktober 1982 dengan slogan PAS di bawah ‘kepimpinan ulama’. Kaum muda PAS dipelopori oleh bekas tokoh ABIM dan pimpinan kelab pelajar Islam di luar negara. Bekas pimpinan ABIM ialah Fadzil Mohd. Nor(Timbalan Presiden ABIM), Abdul Hadi Awang(Pesuruhjaya ABIM Terengganu) lantaran tidak bersetuju dengan gerakan nasionalis-islamis pimpinan Datuk Asri ketika itu. Dan apakah Ustadz Abdu Hadi akan menerima nasibnya pula setelah cuba untuk menjayakan muzakarah dengan Umno ini dengan alasan untuk kebaikan umat islam dan bangsa Melayu di Malaysia?


Seterusnya mengenai kenyataan TG Nik Abdul Aziz. Sebagai seorang Mursyidul AM PAS yang mengetuai Majlis Syura Ulamak, kita hairan bagaimana mungkin beliau tiba-tiba dikesampingkan oleh pimpinan PAS Pusat tatkala membincangkan isu sepenting muzakarah ini? Terus-terang saya menyatakan di dalam banyak hal keputusan Musryidul Am PAS lebih menepati kebenaran dan telah terbukti berjaya. (Ingat TG Nk Aziz pernah menjadi wakil tunggal PAS di Parlimen tatkala pemimpin lain semua tewas pada tahun 1982!) Di dalam banyak isu, PAS Kelantan di bawah TG Nik Aziz lebih dihormati dengan idea-idea yang lebih progresif yang akhirnya dituruti langkahnya oleh Kerajaan Pusat. Demikian juga di dalam senario politik PRU12 yang lalu, tatkala segala serangan ditumpukan kepada Kelantan.


Umum mengetahui, TG Nik Aziz berjaya mengharungi gelombang dasyat tersebut dengan caranya untuk mempastikan kerajaan PAS Kelantan terus kekal di bawah pemerintahan kepimpinan ulamak da hal tersebut gagal dilakukan oleh pimpinan PAS Terengganu yang kini menguasai kepimpinan parti Islam Semalaysia Apabila ada yang bertanya saya apa kes muzakarah PAS-UMNO ini? Jawapan saya tegas: Ujian Allah untuk mematangkan PAS supaya jangan terjerat sehinga mengutamakan kepentingan duniawi dari ukhrawi! ...


sampaikan kebenaran walaupun pahit.

Thursday, July 17, 2008








DATUK Seri Anwar Ibrahim sekali lagi melahirkan kebimbangan mengenai kenyataannya yang diambil oleh pihak polis di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur (IPKKL) malam tadi berkemungkinan akan dipinda.“Saya rasa tidak selesa apatah lagi saya tidak ditunjukkan laporan daripada pengadu. Mungkin laporan saya itu akan dipinda. Ini kerana tiada saksi yang boleh membuktikan laporan yang saya berikan itu asli atau tidak. “Saya ada juga bertanya mengenai laporan pengadu, tetapi mereka hanya menjawab diarahkan tidak boleh beri laporan. Siapa yang arah?Timbalan Perdana Menteri, isterinya atau ketua polis negara sendiri?,”katanya. Menurut mantan timbalan perdana menteri itu, beliau juga diarah mengambil sampel DNA dan contoh darah ketika menjalani pemeriksaan kesihatan di HKL, tetapi enggan berbuat demikian atas nasihat para peguamnya dan pegawai perubatan.


"Apa perlu saya beri, Dulu pun mereka pernah paksa saya mengambil sampel itu. Jadi, apa saja boleh terjadi,” jelasnya dengan nada sangsi.Pada 1.11 petang semalam, Anwar telah dibawa ke IPKKL oleh sepasukan anggota polis bertopeng yang difahamkan anggota D9 dan UTK selepas menahannya di kawasan kediaman beliau di Bukit Segambut sekembali dari memberi keterangan kepada BPR di Putrajaya. Anwar dibenarkan pulang lingkungan jam 9.45 pagi tadi dan diarah kembali memberi keterangan di IPKKL pada 18 Julai ini.Beliau juga menambah, ekoran keengganan pihak polis membebaskannya malam tadi menyebabkan pinggangnya mengalami kesakitan sehingga disuntik ubat penahan sakit. “Walau diberi jaminan akan dibebaskan malam tadi oleh pegawai polis berpangkat SAC II dan ACP selepas keluar dari HKL, tetapi tidak berlaku. Malah saya terpaksa bermalam di lokap beralaskan simen di tingkat tujuh IPKKL.


“Akibat tidur atas simen, saya mengalami sakit pinggang. Nasib baiklah keadaan kembali baik selepas Wan Azizah datang pada jam 1 pagi dengan membawa tuala sebagai alas tidur. Bagaimanapun, polis memberi layanan yang baik sepanjang berada di sana," tegas beliau.

Wednesday, July 16, 2008




ANWAR TELAH DITAHAN
Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditahan oleh polis kira-kira jam 1.00 tengahari sebentar tadi.Beliau pulang ke rumah selepas disoalsiasat oleh Badan Pencegah Rasuah pagi ini sebelum bertolak ke IPK. Beliau ditahan dan dibawa dengan kereta polis semasa dalam perjalanan ke IPK KL. Penyokong diminta berkumpul secara tenang di IPK KL untuk memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Malaysiakini: Anwar ditahan polis bertopeng

Jul 16, 08 1:15pm
Polis menahan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar rumahnya di Segambut Dalam dan dibawa ke ibu pejabat polis Kuala Lumpur tengahari ini.Beliau ditahan sekumpulan anggota polis, termasuk yang bertopeng dan berjaket - dipercayai Bahagian Jenayah Berat, kira-kira sejurus tiba dari Putrajaya selepas memberi keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya.Menurut peguam R Sivarasa, pihak polis telah menunggu kepulangan Anwar dan sebaik sahaja tiba, mereka membawa mantan timbalan perdana menteri itu, ke dalam kereta polis bercermin gelap dan membawanya ke IPK Kuala Lumpur.Anwar tiba di IPK Kuala Lumpur jam 1.11 tengahari dengan dikawal oleh konvoi 15 kenderaan.Manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan kepada pemberita di Parlimen bahawa Anwar telah ditahan.Katanya, beliau menerima panggilan telefon dari Anwar yang mengesahkan bahawa beliau telah ditahan.Anwar juga, katanya, memberitahu bahawa beliau dilayan secara kasar oleh anggota polis yang menahannya itu.Wan Azizah berkata, Anwar memintanya pulang ke rumah untuk menenangkan anak-anaknya dan kemudiannya pergi ke pejabat polis terbabit.

Naib presiden PKR, Azmin Ali tiba kira-kira jam 1.26 tengahari, dan menyifatkan tindakan polis itu sebagai "tidak bertamadun" kerana Anwar telah mengesahkan akan datang.Lagi pula, tambahnya, masa yang diberikan oleh polis sehingga jam 2 petang juga belum lagi tamat.Beliau juga menyifatkan tindakan polis sebagai tidak wajar kerana Anwar dikeluarkan dari keretanya di tepi jalan utama.

Kira-kira 200 penyokong Anwar termasuk ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat kini berhimpun di IPK Kuala Lumpur.Mereka termasuk Yusmadi Yusof, Zuraidi Kamaruddin, Dr Zulkifly Ahmad, Dr Hatta Ramli, Tian Chua serta Karpal Singh.Wan Azizah pula tiba dengan anak perempuannya, Nurul Nuha pada jam 1.30 hari.

Difahamkan Anwar akan didakwa mengikut Seksyen 377C, Kanun Keseksaan. Dalam pindaan terbaru, peruntukan ini berbunyi seperti berikut: Di bawah seksyen ini, seseorang melakukan kesalahan jika dia membuat hubungan seks dengan orang lain dengan memasukkan sesuatu benda ke dalam faraj atau dubur orang yang satu lagi itu. Jika sabit kesalahan, orang yang melakukan kesalahan itu boleh dihukum dengan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan boleh juga dihukum sebat.



Debat: Sampai Berbueh Mulut Shaberry


oleh MSO


TEPAT seperti mana kata Presiden Pas, Abdul Hadi Awang debat antara Penasihat PKR, Anwar Ibrahim dengan Menteri Penerangan, Ahmad Shaberry Chik tidak sepadan. Kata Abdul Hadi semasa saya meziarahinya di IJN pagi tadi Anwar sepatutnya tidak layan Shaberry, beliau sepatutnya berdebat dengan Perdana Menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri, baru padan kata Abdul Hadi.

Sepanjang kira-kira 50 minit perdebatan antara kedua mereka tadi ternyata tidak membawa penyelesaian kepada masalah ekonomi negara hari ini. Ia tidak memberi apa-apa kesan kepada rakyat atau memberi tip untuk melegakan rakyat ekoran kenaikan harga minyak tertinggi di dunia. Debat itu walaupun nampak ilmiah tetapi ia lebih kepada hiburan dalam sitkom Senerio.Formula yang diharap akan dibentangkan Anwar untuk menurunkan harga minyak dan diharap akan digunapakai oleh kerajaan juga kabur. Anwar tidak memperincikan formulanya. Mungkin itu adalah rahsianya yang akan dikemukakan selepas Pakatan Rakyat membentuk kerajaan 16 September depan.Bagaimana pun perdebatan itu memberi keuntungan kepada kedua tokoh berkenaan. Ia mempopularkan mereka. Anwar yang sudah popular menjadi semakin popular dan penampilan tadi juga menaikkan saham dirinya yang agak mendung sehari dua ini. Dengan bersedia memenuhi janjinya (hadir berdebat) walaupun dalam keadaan dirinya ditimpa musibah menjadikan orang yakin kepadanya.
Seperti dikatakan tadi walaupun ia tidak memberi banyak faedah, tetapi perdebatan tadi menyeronokkan. Pastinya ia lebih bermanfaat dari rancangan Akademi Fantasi atau pun Jom Heboh. Bagi Shaberry dapat berganding dengan Anwar atas pentas satu tuah sepertilah orang kampung dapat bergambar dengan artis yang hadir di tempat kenduri. Kesempatan itu diambil sebaik mungkin untuk Shaberry meletakkan dirinya sebagai hebat dan akan dijaja kepada orang kampungnya di Kemaman, Terengganu.


Begitu juga, saya percaya penyokong Anwar dan Pakatan Rakyat yang rindu untuk menatap wajah Anwar di skrin televisyen terubat. Sejak dipecat dari Umno 10 tahun lalu itulah tempoh terlama Anwar muncul di kaca tv dan secara langsung.
Jelas sekali pada semua pusingan Shaberry tewas dalam perdebatan tadi. Ada kalanya beliau terpaksa mengungkitkan soal peribadi Anwar yang terkeluar daripada mauduk perbahasan untuk menyelamatkan dirinya. Apabila beliau membangkitkan soal peribadi Anwar, menyebabkan beliau menerima tepukan daripada penyokongnya dan menjadikan beliau seolah-olah setanding dengan Anwar yang terus mendapat tepukan, termasuk dari penyokong Shaberry sendiri.
Bagaimana pun sekalung tahniah perlu dihulurkan kepada Shaberry. Walaupun sampai berbueh mulutnya untuk mematahkan hujah Anwar dan mempertahkan tindakan Perdana Menteri dan bosnya Abdullah Ahmad Badawi yang menaikkan harga minyak, namun beliau mampu juga memberanikan dirinya. Kesanggupan itu satu kehebatan Shaberry sebenarnya.


Ternyata baik dari segi umur, pengalaman, hubungan kemanusiaan dan cara berhujah Anwar jauh lebih matang dan bijak berbanding dengan Shabrry. Anwar tidak menjawab hal peribadi yang dilemparkan Shaberry berkali-kali kepadanya. Dan Anwar juga menunjukkan semangat profesional dan bukan emosi berbanding Shaberry yang nampak ego dan besar diri kerana jawatannya itu.Shaberry merujuk Anwar sebagai sdr, sebaliknya Anwar merendahkan diri dengan memanggil Shaberry Datuk Shaberry. Di akhir perdebatan Anwar yang melangkah berjabat salam dengan Shaberry yang terkaku di rostrumnya kerana masih teruja dengan apa yang berlaku. Dari segi bintang perdebatan tadi Anwar bolehlah diberi enam bintang (******) manakala Shaberry hanya dua (**) saja. [kl.wk. 10:35 pm 15/07/08]

Tuesday, July 8, 2008

Tok Guru Tetap Terbaik, Tetapi Ada Kalanya Dijadikan Sultan Shahrul Nizam



Oleh : MSO


BAIK Tok Guruku Nik Aziz belaka! Ideanya juga bukan saja canggih tetapi menempati syariat Islam. Iltizam dan tanggungjawabnya kepada agama begitu tinggi dan tidak boleh ditandingi sesiapa. Mungkin bagi mata sekular dan Islam liberal dan Pas klon melihat ianya remeh, menyusah dan tidak pratikal.Namun apa yang beliau lakukan itulah tugas dan peranan mukmin sebenarnya. Itulah khalifah Islam menjaga kekuatan Islam dalam dan luar tidak kira apa. Tidak menggadaikan prinsip Islam untuk tujuan keduniaan termasuk politik.Seperti mana dilaporkan akhbar yang dipetik beliau akan memperkenalkan syarat baru pengambilan kakitangan kerajaan Kelantan dengan mensyaratkan mereka yang rajin sembahyang fardu dan tidak meninggalkan solat Jumaat.Syarat itu akan dikenakan dari peringat bawah hingga ke peringkat tertinggi, daripada penghulu hinggalah ke pegawai daerah.


Amalan atau syarat demikian sudahpun dikenakan dalam politik di mana calon-calon Pas dalam pilihan raya mesti pandai membaca khutbah, dan terbaru yang tidak menghisap rokok. Terlanjur bercakap fasal ahli politik suka saya mencadangkan kalau Tok Guru juga mengenakan syarat baru iaitu calon Pas untuk pilihan raya akan datang di Kelantan mestilah mereka yang berkahwin lebih dari dua isteri dan menjadi ahli Pensyahwat.Pastinya syarat baru pengambilan kaki tangan kerajaan yang bakal disarankan itu akan ditenatng oleh NGO dan golongan Islam liberal dan PAs klon. Ianya pasti menimbulkan polemik.Mereka merasakan syarat itu menyusah dan tidak mementingkan profesional serta membelakangkan ketrampilan seseorang.Cuma apa yang dimusykilkan di sini sikit ialah bagaimana dengan nasib pemohon bukan bergama Islam, seperti Cina, India dan Siam? Apakah mereka dikecualikan daripada dikenakan syarat berkenaan?Jika diikutkan akal begitulah. Apakah di sinilah nanti tidak timbul masalah dan jadi perdebatan hangat? Justeru saya cadangkan juga kepada Tok Guru agar mereka juga tidak terkecuali daripada kena memiliki syarat baru itu.


Cuma bezanya mereka kena kuat sembahyang dan beribadat mengikut agam mereka.Dan kalau begitu bukankah pula ia menunjukkan Pas juga turut sama mahu memastikan pengamal agama lain terus kuat dengan agama mereka? Kalau benar begitu inilah membuktikan bahawa kebebasan beragama benar-benar dipraktikan di negeri yang diperintah oleh Pas. Mungkin inilah juga dinamakan keadilan!Cuma seperkara lagi kalaulah cadangan itu diterima bagaimanakah pula penguatkuasaan akan dilakukan kelak. Bagaimana untuk penguat kuasa menentukan apakah seseorang kaki tangan itu tinggal sembahyang atau tidak. Apakah kerajaan bercadang untuk menetapkan semua kakitangan akan sembahyang berjemaah di sepanjang waktu pejabat?Dan macam mana pula kalau di luar waktu pejabat, hari cuti dan semasa kakitangan berkenaan tidak bertugas/berkerja? Macam mana bentuk penguatkuasannya nanti? Sekrianya penguatkuasaan hanya di pejabat saja, sata rasa syarat berkenaan tidak membawa apa-apa erti. Kerana manusia ni, Tok Guru suka menipu bukan saja diri orang lain tetapi dirinya sendiri juga.Usahkan kakitangan orang yang berada di keliling Tok Guru juga turut sama menipu, cakap tidak benar, suka putar belit fakta dan reka cerita.


Kadang-kadang Tok Guru juga diberikan maklumat yang tidak tepat malah ada yang salah sama sekali. Kadang-kadang juga Tok Guru dijadi Sultan Shahrul Nizam untuk ditunggangi oleh orang yang rapat dengannya dan oleh golongan Pas klon. Kalau Tok Guru tak sedar boleh dikhabarkan dilain masa!


Esok pasti ada ulasan terhadap cadangan Nik Aziz itu. Sama-sama kita tunggu apa komen dan macam manakah pula bentuk pemipulasikan ke atas cadangan berkenaan

PROTES : Ramai Yang Mahu Jadi




"Himpunan Aman PROTES678 yang berlalu telah menimbulkan pelbagai reaksi dari semua pihak diseluruh peringkat. Saya selaku pemerhati senario politik tanah air, yang juga mengikuti perkembangan segala bentuk usaha pihak pembangkang untuk memperjuangkan hak rakyat, merasa amat kesal apabila terlalu ramai pihak yang tampil untuk menjadi hero, seolah-olah merekalah yang mengerti akan apa yang dikatakan sebagai ’Perjuangan Islam’. PROTES tidak terlepas dari pemerhatian saya, dari peringkat awal lagi. Malah saya sangat yakin bahwa kenyataan media dan pelbagai pendirian dan pandangan yang dikemukakan di media mutakhir ini datang dari manusia yang teramat ego, dan amat malang sekali mereka-mereka ini sedikit pun tidak tahu akan perjalanan sebenar PROTES kali ini.


Dari peringkat awal lagi, sebenarnya saya amat kesal bilamana, tidak ada seorang pun wakil pemuda yang sanggup turun padang bagi menyertai aktivti PROTES ini. Tahukah kalian bahawa betapa Dr.Hatta dan beberapa jawatankuada PROTES dari PAS terlalu mengharapkan kehadiran para pemuda kita. Namun nyata segalanya hampa. Walau bagai manapun dengan segala daya yang ada, beberapa orang jawatankuasa PROTES untuk mempertahankan perjuangan kita masih diteruskan. Saya pernah bertanya dimana pemuda PAS tatkala mesyuarat PROTES dikuasai oleh AMKeAdilan?? Saya kesal kerana dalam hal ini diperingkat awal lagi pemuda PAS kelihatan pengecut. Mereka menjadi tin ksong yang begitu hebat berbunyi.


Ketidakbijaksanaan Al-Fadhil Ust Nasruddin Tantawi menguruskan isu ini sekali lagi menyebabkan saya hilang kepercayaan dengan Pemuda PAS. Walau apa pun, seorang pemimpin tidak harus bertindak membincangkan isu yang bersifat ’internal’ dengan menggunakan media yang menjadi tatapan umum (blog). Sudahlah pemuda begitu bongkak dengan tidak menghantar wakil ke mesyuarat PROTES, pelbagai kenyataan dan ’hukuman’ pula yang kalian berikan. Sepatutnya Pemuda PAS yang begitu lantang bersuara perlu berasa malu dengan apa yang terjadi.


Saya tahu pemuda telah menghantar wakilnya saat-saat akhir, pun begitu kehadiran wakil pemuda begitu dihargai.Bukankah pengisian program telah diamanahkan kepada Pemuda PAS sebagai wakil dari PAS. Apabila pengisian tidak seperti yang diputuskan dalam mesyuarat maka siapakah yang harus dipertanggungjawabkan? Bukankah unit pengisian itu sendiri? Kenapa dalam hal ini Pemuda begitu rakus menunjukkan sifat tidak bertanggungjawab dan pengecut? Tahukah kalian bahawa begitu tinggi harapan yang di letakkan oleh Dr Hatta kepada wakil dari pemuda yang duduk di dalam unit pengisian ini untuk memastikan program berjalan lancar? Kegagalan kalian ini tidakkah kalian harus insafi dan bukannya meletakkan kesalahan itu kepada insan yang terlah meletakkan harapannya pada kalian? Malah bukan Dr Hatta sahaja yang meletakkan harapan beliau, beberapa anggota PROTES non-muslim juga meletakkan harapan mereka. Tetapi kalian TEWAS kerana EGO kalian.


Apakah pemuda fikirkan bahawa dengan sikap mereka ini mereka mampu menjadi agen untuk memasyarakatkan PAS? Tahukah kalian tindakkan kalian ’melarikan diri’ sewaktu program sedang berjalan adalah tindakan yang diambil atas rasional politik semata tetapi dari aspek dakwah jelas kalian masih mentah. Tidakkah apa yang berlaku di himpunan PROTES tempoh hari adalah realiti masyarakat kita pada hari ini? Adakah dengan melarikan dari bertanggungjawab terhadap insiden itu kalian telah menyelesaikan tugas dakwah kalian? Melarikan diri dari mad’u! Amat memalukan. Lupakah kalian pada sejarah yang dilakar oleh asy-syahid imam Hassan Al-Banna yang melangkah masuk ke DISKO lalu menyebutkan satu kalimah sebagai usaha beliau untuk mengingatkan para pemudi yang ada dalam DISKO tersebut, dan kalimah tersebut hanyalah ALLAH. Nah, sekarang persoalkan pada diri kalian apakah yang telah kalian sampaikan pada anak muda dan masyarakat yang memerlukan sinar dakwah pada insiden itu? Mampukah untuk kalian menjawab?


Saya merasa insaf atas apa yang berlaku, dan ini juga menunjukkan kelemahan PAS dalam aspek dakwah. Kita terlalu ghairah mengisi cabang politik sehingga dakwah bil hal kita pada keadaan yang memerlukan amat mengecewakan. Tahukah kalian seorang jawatankuasa PROTES yang berbangsa cina telah memeluk Sdr Kamarulzaman, tetapi saudara Kamarulzaman telah menepisnya di khalayak ramai. Dimanakah akhlak islamiyyah kita? Kita harus keras dalam mempertahankan hukum kita, tetapi kita harus selembut-lembutnya dalam menyampaikan. Jelas pemuda tidak menjelaskan apa-apa kepada mad’u kita pada insiden itu sebaliknya melarikan diri dengan penuh amarah. Beginikah tarbiyyah PAS?Beberapa masa dahulu ada disebut tentang ’ego orang agama’, nah TAHNIAH kepada Pemuda PAS kerana buktikan ’Ego Orang Agama’ tersebut. Saya tetap tidak bersetuju dengan tindakan Pemuda yang melarikan diri itu walau apa pun alasanya.Kita semua sayangkan Islam, kalau tidak kita tidak mengapa kita berada di dalam PAS?Ketahuilah bahawa tidak ada sesiapa yang menerima tarbiyyah dari PAS yang bersetuju dengan apa yang terjadi. Jangan terlalu rasa hebat sehingga memperlekehkan pimpinan yang ada. Saya juga kesal dengan PAS Kemaman yang mahukan pimpinan PAS memohon maaf secara terbuka. Sikap semborono menghentam pimpinan tanpa asas dan berdasarkan khabar angin perlu dihentikan. Bersifatlah seperti ’gentleman’ dan bersemuka dan minta jawapan dari apa yang berlaku bukan dengan menghentam begitu. Untuk pengetahuan Ustz, Nasharuddin Mat Isa tidak pun hadir pada malam itu. Justeru, berhati-hati menyusun bicara. Mudah untuk kalian berbicara, tetapi bukan kalian yang keluar masuk lokap beberapa kali untuk rakyat, dan bukan kalian yang mengusahakan ikat jamin dan urusan guaman, malah mungkin kalian tidak tahu dan tak pernah mengambil tahu.


Saya mengharapkan sedikit coretan saya ini dapat menyedarkan kita dari segala macam kesilapan, dan janganlah kita terus mengulangi segala kesilapan kita. Buat Pemuda, saya rasa sudah tiba masanya kalian menjadi lebih realistik dan jatuhkan sedikit ego kalian, ayuh mantapkan medan dakwah dan telusuri seni dakwah dan kepimpinan, bagaimana untuk pimpin negara andai kelompok kecil begini kita sukar untuk menguruskannya. Kepada Dr Hatta dan jawatankuasa PROTES, yakinlah Allah tidak menjadikan sesuatu itu untuk sia-sia. Belajarlah dari apa yang terjadi, dan bijaklah dalam merangka dan menggerakkan program-program yang melibatkan orang-orang luar apatah lagi jika ia melibatkan AMKeAdilan. Walau apa pun saya memandang perkara ini dari sudut positifnya PAS perlu lebih memperkasakan gerakan dakwahnya, dakwah dan siasah harus seiring.


Maaf andai apa yang saya coretkan menyakitkan hati pelbagai pihak, ianya perkongsian ikhlas. Moga Allah ampunkan saya.


Wallahua’alam.

Wednesday, July 2, 2008


Pengakuan Rosmah tidak cukup, kes bunuh bukan isu kecil - Mahfuz



KUALA LUMPUR, 2 Julai (Hrkh) - Pengakuan Isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bahawa beliau tidak bersalah dalam dakwaan yang dikaitkan dengan kes bunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu tidak mencukupi untuk membersihkan nama baik dan imejnya termasuk suami beliau yang sudah tercemar. Malah anggapan bahawa beliau tidak menyaman Raja Petra Kamaruddin kerana membuat fitnah itu, kerana tidak mahu menumpukan pada isu-isu yang tidak perlu, diselar dan kritik hebat hari ini oleh Ketua Penerangan PAS Haji Mahfuz Omar. "Sejak bila kes bunuh ini adalah isu kecil atau tidak perlu ditumpukan malah tuduhan terhadapnya adalah serius dan mesti dibersihkan mengikut lunas undang-undang. "Raja Petra sendiri sanggup berhadapan dengan tindakan undang-undang untuk dedahkan bukti dan bersedia disaman dan ke mahkamah," kata Mahfuz yang berada di Parlimen ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.


Katanya kesan kepada pengakuan Rosmah dengan tidak melakukan sebarang tindak balas menyebabkan orang ramai tertanya-tanya sama ada maklumat yang didedahkan oleh Raja Petra dalam Surat Akuan Berkanun itu adalah benar. Ini katanya memberi impak tidak baik kepada negara dari segi politik dan ekonomi apabila isteri Timbalan Perdana Menteri dikaitkan dengan kes pembunuhan dan menghilangkan kepercayaan rakyat termasuk masyarakat antarabangsa terhadap negara ini Kata Mahfuz lagi, jika 'kaedah' Rosmah ini digunakan oleh Penasihat Dato Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi tuduhan liwat pemuda tempoh hari , sudah pasti beliau tidak perlu di siasat atau kes tersebut diabaikan begitu sahaja. Adakah dengan pengakuan Anwar bermakna kes ini ditutup sama seperti tuduhan terhadap Rosmah? Sudah pasti polis dan mahkamah mahukan bukti kukuh atas dakwaan dan pembelaan Anwar," katanya


"Dan Anwar sendiri bertindak menyaman pemuda itu demi membersihkan nama baiknya. Rosmah perlu menyaman Raja Petra, demi mendedahkan bukti yang sebenarnya. "Jika tidak rakyat beranggapan bahawa isteri TPM menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan umum" katanya. Rosmah dipetik sebagai berkata bahawa beliau bukan seorang ahli politik malah tidak bertanding untuk merebut jawatan dalam parti, oleh itu tiada ada yang perlu dirisaukannya. Berdasarkan Surat Akuan Bersumpah blogger Raja Petra pada 18 Jun lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, mendakwa bahawa Rosmah Mansor berada di tempat kejadian sewaktu mendiang Altantuya dibunuh.


Dalam kejadian malam pembunuhan itu tiga orang telah disyaki berada ditempat kejadian iaitu Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Timbalan Perdana Menteri, Pemangku Kolonel Aziz Buyong (kini Leftenan Kolonel) seoarang pakar C4 dan isteri Aziz iaitu Norhayati yang merupakan ADC bagi Datin Rosmah, kata Raja Petra dalam surat akuannya itu Menurut Raja Petra lagi bahawa ketiga-tiga mereka ini sehingga kini masih belum disabitkan dalam kes ini ataupun di panggil sebagai saksi lagi dan berharap pihak polis akan menjalankan siasatan atas dakwaannya itu. Lebih mengejutkan, Raja Pertra mendakwa menurut sumbernya bahawa Aziz telah menempatkan bahan letupan C4 itu di beberapa anggota badan Altantuya sambil disaksikan sendiri oleh Rosmah dan Norhayati.
Surat Akuan bersumpah ini turut disiarkan melalui laman web yang dikendalikan Raja Petra iaitu Malaysian Today dan beberapa blog yang lain./wann _

Anwar ada bukti dimana beliau berada 26 Jun



KUALA LUMPUR, 2 Julai (Hrkh) -


Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan mengumumkan fakta dimana beliau berada pada 26 Jun lalu iaitu tarikh yang didakwa Saiful Bukhari Azlan sebagai tarikh kejadian liwat kononnya berlaku.Dalam ceramahnya di Stadium Melawati Shah Alam malam tadi, Anwar menyatakan penjelasan mengenai hal itu akan dibuat dalam masa terdekat. Sebelum ini, Saiful Bukhari yang membuat laporan di Pondok Polis HKL di bawah kawalan Jalan Travers mendakwa beliau diliwat Anwar pada 26 Jun lalu di Kondominium Desa Damansara. Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu sejurus selepas laporan mengenai dakwaan liwat itu diketahuinya. Di hadapan 10,000 penyokongnya, Anwar turut menegaskan bahawa tuduhan yang dihadapkan ke atasnya itu adalah 'rekaan' semata-mata untuk menjatuhkan beliau. Malah beliau menyesyaki tuduhan itu dilakukan kerana niat jahat pihka tertentu tatkala melihat sokongan terhadap Pakatan Rakyat semakin meningkat.
Kenyataan itu disambut dengan sorakan oleh para penyokong yang setia menanti penjelasan Anwar sejak isu tuduhan liwat ke atas beliau dilaporkan media Ahad lalu.


Turut berceramah antaranya, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah. Sementara itu Anwar juga memberitahu penyokongnya bahawa beliau telah membuat satu laporan polis terhadap Ketua Polis Negara dan Peguam Negara berhubung penyelewengan fakta laporan kes 'mata lebam pada tahun 1998. Menurut Anwar laporan polis itu berhubung siasatan kes beliau ditumbuk (mata lebam) oleh bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor pada 1998 yang didakwa melibatkan penyelewengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail. Anwar percaya Musa Hassan dan Gani Patail telah hadir di Bukit Aman pada 20 September 1998 dan mengetahui mengenai serangan Tan Sri Rahim Noor terhadapnya.


"Musa dan Gani selanjutnya menyembunyikan fakta mengenai serangan terhadap saya daripada pengetahuan umum sehinggalah mata saya yang lebam dan kecederaan yang saya alami didedahkan di mahkamah," katanya sambil disambut oleh sorakan gemuruh penonton. Dalam ceramah tersebut juga Anwar mengecam sebarang percubaan jahat untuk menjatuhkannya. Bagi Anwar kerja-kerja sedemikian adalah kerja golongan yang terdesak yang tidak mahu melihat Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya untuk mengambil alih pemerintahan.
Justeru beliau memberi amaran kepada pihak yang cuba untuk menjatuhkan reputasi beliau agar berhati-hati kerana beliau tidak akan tertipu dengan permainan mereka ini. _