Wednesday, June 17, 2009

Sudah tiga bulan Najib jadi PM, ada yang tidak kena!

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Hrkh) - "Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan Perdana Menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap Perdana Menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena." Demikian pandangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu wawancara bersama Harakah baru-baru ini. Menurutnya, ukuran Dato' Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri baru boleh dilihat berdasarkan sambutan masyarakat terhadapnya termasuk dunia luar. "Dalam ukuran kepada populariti Perdana Menteri yang baru, kalau kita ambil daripada kaca mata "ucap tahniah" yang diterima oleh Malaysia, setakat ini yang saya diberi faham hanya Singapura, Brunei, dan baru-baru ini Amerika yang ucapkan tahniah. Hanya tiga pemimpin negara dari seluruh dunia yang menyampaikan ucapan tersebut.

"Kita telah masuk ke bulan ketiga sejak pelantikan Perdana Menteri yang baru. Kalau itulah ukuran sambutan orang terhadap perdana menteri yang baru maka sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena,"jelasnya. Tambah Nik Aziz, jika diselidik,sudah pasti pergolakan bukan sahaja dalam komponen Barisan Nasional (BN) malah isu dalaman Umno sendiri boleh dianggap sebagai punca pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri tidak diterima dengan baik. "Apa agaknya yang tidak kena, jelaslah pergolakan dalaman seperti isu PPP dengan elemen dua presiden antara Murugiah dengan Kayveas belum lagi selesai.

"Begitu juga dengan perpecahan di Terengganu antara blok Ahmad Said dengan Idris Jusoh, laporan ancaman bunuh ketika hendak hadir mesyuarat sidang dun masih belum selesai,"jelasnya lagi. Nik Aziz juga menerangkan, bukan sahaja satu atau dua perkara tetapi ia juga melibatkan hampir seluruh negara seperti,"di Pulau Pinang sendiri pun, usul tidak terima kepada kepimpinan majlis perbandaran menolak salah satu. Itupun ia masih dalam keadaan yang hangat. "Jika kita tinjau di Perlis, keadaan yang hampir serupa. Di wilayah ini, keadaannya sama, orang yang boleh diharap dalam menyokong Najib hanya dua, tiga orang sahaja. Mungkin dia bekas setiusaha politik dia, Zahid Hamidi dan mungkin seorang lagi yang baru dilantik sebagai Senator. Selain mereka, saya lihat masih berkecuali dan kemungkinan tidak memberi wala' kepada Najib."

Dalam pada itiu katanya, desakan oleh pemimpin DAP, Lim Kit Siang agar Najib diuji di parlimen untuk melihat wujud sokongan atau tidak juga antara indikasi bahawa kepimpinan Najib benar-benar bermasalah. "Sebab itu desakan yang ditimbulkan oleh Lim Kit Siang berasaskan kepada 45 peratus sahaja undi popular yang diperolehi. Najib sepatutnya diuji dalam sidang dewan yakni 'vote for non-confidence'. "Kenapa ini tidak boleh dibuat? Ini perkara yang boleh dinilai tahap kekukuhan Umno buat masa sekarang ini,"tegasnya. - mks. _ -->

Sunday, June 14, 2009

UBN Terus Melakukan Kesilapan Yang Sama

BIASANYA orang yang melakukan kesilapan yang sama adalah orang yang bodoh! Orang yang tidak bersekolah. Otaknya lembab dan bebal. Kurang sel! Orang cerdik tidak akan melakukan kesilapan lebih daripada sekali atau sekurang-kurangnya dua kali. Kesilapan kali pertama boleh dikatakan kerana kelemahan semula jadi manusia kerana dia adalah mahluk dicipta bukannya Pencipta.
Manakala kesilapan kali kedua kerana kesilapan pertama tidak diperbaiki disebabkan kelalaian ataupun kekurangan ilmu. Tetapi kalau melakukan kesilapan yang sama lebih daripada dua kali ternyata orang itu bodoh. Bodoh sengoti, kata orang Kelantan. (Tak faham sila telefon). Apabila Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed telah membuat janji untuk menjadikan kawasan Manik Urai sebagai anak angkat sekiranya UBN memenangi pilihan raya kecil 14 Julai nanti, ia satu janji dan strategi politik yang bodoh.

Kata Mustapa bila dijadikan anak angkat kawasan itu akan dibawa banyak projek. Pembangunan prasarana akan dibina di kawasan berkenaan. Maka akan jadi bermanik-maniklah Manik Urai! Orang Manik Urai hanya mengangguk-ngangguk mendengar janji itu dan bila sampai di rumah mereka akan tersenyum sendiri dan akan dikongsi dengan bini dalam selimut, geli hati dengan janji Menteri MITI itu. Mustapa sudah silap bila menabur gula yang sama kepada kumpulan semut yang sudah ‘celika’ dan tahu akan tujuan gula itu ditabur. Orang Manik Urai bukan bodoh. Mereka sudah celik mata dan 'celik' telinga.

Cara janji Mustapa itu juga cuba merendahkan taraf pemikiran dan politik orang Manik Urai. Walaupun mereka duduk jauh di pedalaman tetapi mereka tahu apa yang berlaku di sekitar dunia luar. Apa lagi mengenai politik yang merupakan sebahagian menu sarapan pagi mereka di kedai-kedai kopi yuang berderetan di Manik Urai. Benar mereka tidak tahu mengenai pasaran saham Hong Kong, Jepun, London atau Amerika, tetapi mereka tahu bagaimana denyut nadi politik Pas dan Umno. Jantung politik Pas dan Umno Kelantan sentiasa dalam dada mereka. Mereka tahu dan kenal siapa dia Annuar Musa. Apa yang Annuar pernah lakukan. Apa dosa-dosa besar dan dosa kecil Annuar. Dengan siapa Annuar digossipkan. Begitu juga mereka tahu dan kenal siapa dia Husam Musa. Bahkan kalau disebut baju petak-petak merah pun mereka sudah kenal wajarnya. Itulah menunjukkan orang Manik Urai sangat ‘makrifah’ dengan dunia politik siasah.

Janji sebegitu bukan yang baru bagi UBN. Janji itu adalah perulangan janji-janji lama yang meloyakan. Di mana-mana ada pilihan raya, janji-janji lunak begitu berlori-lori ditaburkan. Masa pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, Pasir Mas akhir tahun 2006 dulu itulah juga janji yang ditaburkan. Mulut itu jugalah yang mengukir janji berkenaan. Kalau Pengkalan Pasir dimenangi UBN, kawasan itu kononnya akan dimajukan segala prasarana akan dibawa ke situ. Mendengar segala janji ditaburkan pada masa itu seolah seluruh kawasan Pengkalan Pasir akan padat dan penuh dengan projek. Seolah-olah seluruh jalan di kawasan itu bukan lagi diturap dengan tar tetapi diturap dengan gansa dan perak. Tiang lampunya diperbuat dari testil. Setiap orang di Permatang Pasir bukan lagi pakai baju pagoda tetapi pakai baju besi...Tetapi apa jadi selepas UBN memenangi kawasan berkenaan? Nah, tegok dan pergilah jenguk sendiri. Pengkalan Pasir masih menjadi pengkalan yang berpasir dan dilanduni air bila hujan lebat turun. Longkang masih tersumbat dan jalan belum sempurna sepenuhnya. Apa yang ada kini nasib baiklah kerajan Pas yang sesak dan miskin lakukan. Kalau harapkan kepada UBN habuk pun tadak!

Strategi berjanji tetapi tidak tunai tidak diterima rakyat lagi. Cara Mustapa lakukan salah. Ia tidak akan mengubah pendirian orang Manik Urai. Orang Manik Urai tidak pun akan merasa terhibur dengan janji-janji demikian. Mereka juga tahu hanya seminggu dua ini sahaja pembesar negeri singgah di kawasan mereka. Selama ini mereka sunyi dan hidup di kalangan mereka sahaja. Tiada ada mana-mana pembesar yang berkunjung ke tempat mereka jauh sekali untuk duduk-duduk bersembang di atas jemburan atau tangga. Kerana itu mereka tidak merasakan orang lain sebagai pemimpin mereka, melainkan Allahyarham Ismail Yaacob atau Pak Su Weil saja. Kerana Pak Su Weillah yang bersiang bermalam dengan mereka. Apa orang nak bilang pada Pak Su Weil, tetapi Pak Su Weillah hero mereka. Pak su Weillah tempat menggantung harap! Tengku Razaleigh Hamzah, ahli parlimen Gua Musang, seorang anak raja yang berjiran dengan kawasan mereka, seorang pakar ekonomi dan hampir-hampir nak jadi Perdana Menteri, mereka tidak pun merasakan Tengku Razaleigh adalah pemimpin mereka.

Ramzi Abdul Rahman, Ketua Umno Bahagian Kuala Krai ada rumah tinggi atas bukit di Jelwang, mereka tidak merasakan Ramzi sebagai pemimpin mereka. Ataupun Zulkefli Yaacob bekas Adun Guchil (ada Mercedez putih) dan sepupunya Abdul Latif Abdul Rahman yang juga Ketua Pas Kawasan Kuala Krai juga mereka tidak merasakan kedua ustaz itu sebagai pemimpin mereka. Yang mereka lihat dan ingat sebagai pemimpin dan tokoh mereka hanya Pak Su Weil. Sebab itu Pak Su Weil tidak pernah kalah dan boleh menang sampai lima kali. Walaupun Pak su Weil terbaring dalam ward tetapi masih menang sebagai timbalan ketua Pas Kuala Krai. Kenapa keadaan jadi begini. Kerana selama ini tidak ada mana-mana orang nak pedulikan mereka. Nasib mereka dibiarkan dengan mereka sesama mereka saja uruskan. Kalau ada sesekali datang menjenguk pun kerana ada tujuan lain bukan ikhlas untuk bertanya khabar mengenai kehidupan mereka.Jadi bila tiba-tiba seminggu dua ini baru ada pemimpin tergila nak singgah dan bertanya berapa harga pot (getah sekerap) sekarang, atau durian berbuah atau tidak, atau datang untuk bagi benih ikan keli, ia tidak memberi bekas. Mereka sudah tahu pertanyaan itu hanya menanam tebu di bibir mulut saja.Kalau hanya seminggu dua ini baru ada pemimpin turun nak belajar toreh getah ia tidak juga merujakan mereka. Mungkin tupai, kera, musang genggalung dan 'kangka' binatang macam beruk tetapi kening putih bergerak secara melompat sahaja yang terkejut bila ada timbalan menteri tiba-tiba pergi toreh getah.Mungkin segala unggas dan haiwan itu berfikir bahawa keadaan ekonomi negara ditangan Najib Razak ini sudah terlalu teruk sangat sampai timbalan menteri pun terpaksa mengambil upah toreh getah di Manik Urai!

Kalau Mustapa dan mana-mana pemimpin ikhlas dan suci hati nak bangunkan Manik Urai atau kawasan luar bandar jangan tunggu bila ada pilihan raya. Mustapa boleh jadikan mana-mana saja kawasan yang daif, ketinggalan untuk dijadikan anak angkat. Bila diambil anak angkat selepas ada pilihan raya jelas sangat ianya tidak ikhlas dan tindakan bermotif politik jangka pendek dan segera yang bodoh.Jangan haraplah UBN akan mencapai kemenangan dengan cara itu. Melainkan kalau awal-awal lagi UBN jadikan anak angkat seluruh kawasan dimenangi Pas, mungkin ia akan membawa keuntungan kepada UBN. Bila ada pilihan raya kecil mereka tidak payah susah-susah lambakan janji manis, rasuah dan pasang papan tanda baru mengenai projek itu dan projek ini. Bila mereka sudah lama dianakangkatkan mereka sudah merasa dan bila ada pilihan raya mereka terus pilih UBN.Jadi kepada Mustapa dan pemimpin UBN lain janganlah merendahkan minda orang Manik Urai dengan janji-janji molok begitu. Bawalah pendekatan dan pendidikan politik yang boleh mendidik jiwa dan minda. Dan cubalah belajar berpolitik daripada orang kampung yang jujur, ikhlas dan tidak mengharap apa-apa benda keduniaan melainkan Allah. [d'kota kl 11:15 am 14/06/09]

Thursday, June 11, 2009


BN tidak mampu retakkan Pakatan Rakyat - Anwar

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Hrkh) - Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim yakin Barisan Nasional tidak akan mampu meretakkan permuafakatan Pakatan Rakyat berhubung dengan isu Kerajaan Perpaduan. Tegasnya, beliau bersama dengan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bertemu semalam bagi membincangkan isu yang hangat diperkatakan muktahir ini. Menurut Anwar, Pakatan Rakyat percaya perselisihan yang berlaku hanyalah kecil tetapi digembar-gemburkan oleh media yang dikuasai Umno-BN.

Berikut disiarkan kenyataan penuh Anwar:
Kenyataan ini saya edarkan setelah berbincang dengan Ustaz Abdul Hadi Awang dan Sdr Lim Kit Siang semalam. Kami mengulangi komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama Pakatan Rakyat bagi menjayakan Agenda Perubahan. Kami berpendapat adalah penting untuk memberi peluang dan ruang kepada rakan-rakan parti komponen untuk menjelaskan pendirian mereka berhubung sebarang isu yang berbangkit. Kami percaya perselisihan kecil yang digembar gembur oleh media Umno-BN tidak akan meretakkan permuafakatan yang terbina dari iltizam untuk membawa Perubahan kepada rakyat Malaysia keseluruhannya. Perlu dijelaskan bahawa isu rundingan PAS-umno yang berbangkit dari kenyataan Ustaz Abdul Hadi pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar di muktamar tahunan baru-baru ini harus dilihat dalam konteks pidato Presiden PAS.

Dalam pidato tersebut Ustaz Abdul Hadi mengulangi komitmen PAS untuk memastikan Perubahan terlaksana melalui wadah Pakatan Rakyat dan menggariskan kewajaran muafakat antara parti bagi menyelesaikan krisis Perak melalui pilihan raya, menggesa agar badan kehakiman bebas dari sebarang kongkongan dan pilihan raya yang telus. Insya-Allah permuafakatan Keadilan, PAS dan DAP akan bertambah utuh dari hari ke hari. Rakyat Malaysia mahukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan cekap mentadbir bagi kembali memacu negara ini ke persada. Pakatan Rakyat bersedia menggalas tanggungjawab demi memastikan negara ini berada di landasan yang tepat.

ANWAR IBRAHIM, KETUA PEMBANGKANG, DEWAN RAKYAT MALAYSIA. - mks._ -->

-

Wednesday, June 10, 2009


Mahfuz cadang Husam, Mohd Sabu dilantik jawatan utama PAS

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar mencadangkan agar Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu diberikan jawatan yang penting dalam Dewan Harian PAS Pusat. Mahfuz menegaskan kedua-dua pemimpin tersebut merupakan aset penting dalam PAS dan tidak seharusnya ia dipersia-siakan. Jika keduanya tidak diberikan jawatan-jawatan penting ia pastinya akan merugikan parti, jelas beliau. "Saya mencadangkan agar Dato' Husam dan Mohamad sabu diberikan jawatan penting dalam Dewan Harian. "Mereka berdua merupakan aset penting kepada parti dan ia merugikan jika kita tidak melantik keduanya memegang apa-apa jawatan penting," tegas Mahfuz. Mahfuz juga menjelaskan, kedua tokoh tersebut merupakan public figure yang mampu menarik sokongan terhadap PAS.

Kedua-dua tokoh tersebut juga tegas beliau, mampu mengukuhkan kepimpinan PAS jika diberikan jawatan penting dalam Dewan Harian. Mengulas perkara yang sama, seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayob turut sependapat dengan Mahfuz yang mahukan kedua tokoh penting PAS itu diberikan jawatan penting dalam parti. Salahuddin menegaskan, beliau akan berusaha memastikan Husam dan Mohamad Sabu diberikan jawatan penting dalam Dewan Harian PAS Pusat. "Kedua tokoh tersebut masih sangat-sangat diperlukan oleh PAS, jadi perlu keduanya dilantik jawatan penting dalam Dewan Harian.

"Andai kita membiarkan keduanya tanpa jawatan ibarat membiarkan kilauan permata malap kerana tidak tahu menjaganya," tegas Salahuddin. Beliau juga menegaskan kedua tokoh penting itu mampu mengukuhkan kepimpinan PAS untuk menguatkan lagi Pakatan Rakyat dan memastikan kemenangan dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Dato' Husam Musa dan Mohamad Sabu sebelum ini merupakan Naib Presiden PAS. - mr_