Wednesday, October 21, 2009

Rundingan Dapatkan Royalti Petroleum

BUAT pertama kalinya semalam Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra telah berangkat merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan. Upacara perasmian semalam merupakan tugas pertama seumpamanya oleh baginda sebagai Pemangku Raja.Sudah pasti keberangkatan baginda ditunggu oleh semua lapisan rakyat negeri Kelantan. Tengku Faris yang sebelum ini sudah dikagumi kerana sikap prihatin dan kepedulian baginda yang tinggi kepada rakyat.Baginda tidak segan dan canggung turun sendiri ke bawah menemui rakyat, mengauli rakyat untuk mengetahui masalah rakyat dari dekat. Sudah banyak masalah rakyat yang tidak dapat diselesaikan dapat diselesaikan baginda atau selesai setelah baginda bertitah dan mengambil tahu mengenainya.Ini menunjukkan suara dan titah baginda dihormati dan didengari oleh semua pihak. Semua itu disokong oleh sifat baginda yang sedarhana, tidak berlagak dan memisahkan kehidupan di istana dengan kehidupan di luar.
Sikap dan pembawaan baginda yang berjiwa rakyat inilah menyebabkan kini baginda disayangi dan budi bagainda disebut-sebut rakyat di mana saja. Kehadirian baginda di tengah masyarakat umpama berlabuhnya kejora di padang hitam.
Semalam semasa bertitah merasmi persidangan DUN, sekali lagi baginda menunjukkan komitmen dan keperihatian baginda kepada pembangunan Kelantan demi untuk kesejahteraan rakyat baginda seluruhnya.Semalam baginda menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan Kelantan untuk menuntut bayaran royalti Petroleum seperti mana yang termaktub dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan Petronas pada tahun 1995.Sokongan dan restu baginda itu sudah tentu memberi semangat kepada kerajaan pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, timbalannya Ahmad Yaacob dan Exco lain untuk menuntut hak rakyat Kelantan itu. Sehubungan itu adalah tepat kalau Menteri Besar menyegerakan perkara berkenaan.Dalam perkara ini, MB hendaklah menggerakkan semula jawatan kuasa bersama – kerajaan Kelantan dan Persekutuan berhubung perkara itu. Tuntutan seperti mana digesa oleh Pemanku Raja itu bukan boleh dibuat bersendirian atau diserahkan untuk diuruskan oleh seorang Exco saja.Perkara yang berat dan besar hendaklah dipikul bersama dan jangan ada orang yang cuba memandai-mandai dan hendak menunjukkan hebat apa lagi menjual diri untuk kepentingan politik.Jawatankuasa bersama perlu diaktifkan. Dan jawatan kuasa ini perlu diberikan mandat oleh kerajaan negeri untuk berunding dengan Petronas.Sebolehnya perkara ini disegerakan. Tuntutan itu mungkin boleh dimulakan dengan ada rundingan rasmi antara kedua pihak. Jawatankuasa berkenaan yang disertai beberapa pegawai tertinggi kerajaan dan Exco boleh membuat temu janji untuk berbincang dengan Perana Menteri, Mohd Najib Razak.Adalah diyakini kalau tututan itu secara perundingan dan bukannya dengan desakan fizikal, seperti mengadakan tunjuk perasaan, serangan dalam cermah, sengaja tunjuk pandai, insyAllah ia terbuka pintuk hati kerajaan persekutuan untuk melunasi apa yang digesa oleh Pemangku Raja itu. Dan pihak kerajaan juga tidak perlu merasa gusar berhubung itu kerana tuntutan itu sudah mendapat restu daripada baginda Pemangku Raja. [wm.kl. 10:45 am 21/10/09]

Tuesday, October 20, 2009

Makkal Sakti tidak jejas Kelab Penyokong PAS

KUALA LUMPUR, 20 Okt: PAS tidak melihat penubuhan parti serpihan kaum India yang baru, Makkal Sakti memberi ancaman besar terhadap Kelab Penyokong PAS (KPP) yang dipelopori parti Islam itu sejak dua tahun dahulu. Malah menjangkakan ianya tidak kekal lama dan bakal senasib parti serpihan kaum india yang lain seperti Parti Progresif Rakyat (PPP), dan Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF). Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasioanal PAS, Dr. Mujahid Yusuf Rawa berkata, Pas lebih melihat pnubuhan parti baru itu untuk jangka masa panjang, di mana parti yang ditubuhkan atas dasar protes dan kecewa tidak akan kekal lama. "Tidaklah sebesar mana untuk dianggap sebagai ancaman, kita lihat jangka masa panjang, selalunya parti yang ditubuhkan kerana tak setuju khususnya dari kaum India ini tak kekal lama. Tengok PPP berpecah, IPF hampir tak ada. Saya Yakin Makkal Sakti akan temui jalan yang sama," katanya ketika ditemui di lobi parlimen semalam.
Mengulas penubuhan parti itu juga, Mujahid berkata BN sengaja mengatur strategi untuk memadam semangat masyarakat India yang nyata menolak parti berasaskan perkauman samada MIC, IPF ataupun PPP. Justeru itu, BN terpaksa mencipta parti baru untuk mengembelengkan tenaga masyarakat India agar memberikan kepercayaan kepada parti baru kononnya hasil perjuangan rakyat akar umbi untuk menggantikan parti perkauman India lainnya. Tetapi Mujahid juga tidak menolak kemungkinan ada di kalangan ahli biasa KPP akan menyertai parti itu memandangkan KPP hanya sebuah organisasi yang bernaung di bawah sebuah lajnah dalam PAS. Namun beliau memberi jaminan KPP tidak akan terjejas memandangkan kepimpinan tertinggi KPP dan aktivis kelab itu masih bersama PAS. "Saya tiada maklumat, mungkin sebahagian dari ahli kita (KPP) akan menyertai parti itu (Makkal Sakti), itu hak demokrasi ahli, tetapi saya memberi jaminan pimpinan dan aktivis KPP belum dengar lagi ada yang terlibat dengan Makkal Sakti," katanya lagi.
Beliau juga memberitahu penubuhan parti baru itu juga sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan terhadap ahli kelab tersebut. Bagaimanapun menurut beliau, Pimpinan KPP telahpun memtuskan supaya ahli mereka tidak boleh mempunyai dua keahlian dalam satu masa. Menurutnya, ahli KPP pada waktu ini hanya diikat berdasarkan ideologi dan keyakinan mereka sendiri terhadap PAS. Beliau turut mengakui masih belum ada sesuatu yang boleh mengikat ahli kelab ini untuk terus bersama PAS selain daripada menyegerakan penyerapan KPP sebagai sayap PAS berbanding hanya berada dibawah lajnah pada masa ini. Difahamkan jawatankuasa teknikal yang ditugaskan berhubung perkara ini telah selesai menyiapkan draf mereka dan akan dibentangkan dalam masa terdekat. "Kita kena segerakan KPP menjadi satu struktur berpelembagaan dalam PAS, diiktiraf dan ada keahlian. Ini akan memberi lebih keterikatan dan kawalan kepada ahli," katanya. 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib melancarkan parti baru itu dan besedia memberi RM30 juta bagi mengembangkan parti itu. Bagaimanapun Najib menafikan penubuhan Makkal Sakti itu bagi menggantikan MIC. _
Mohamad Sabu ketuai post mortem PAS

KUALA LUMPUR, 20 Okt: PAS telah melantik AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu untuk mengetuai satu jawatankuasa kajisiasat (post mortem) kenapa calonnya kalah teruk dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, Mohamad dilantik berdasarkan beliau tidak terlibat secara langsung dalam jentera pilihan raya kecil tersebut. Mustafa memberitahu perkara ini ketika ditemui di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut petang semalam. Calon Pakatan Rakyat dari PAS, Zulkefly Mohamad Omar kalah kepada calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad dalam pilihan raya itu dengan majoriti 5, 435 undi berbanding hanya 2,333 undi dalam pilihan raya umum 2008 lalu. Mustafa dalam pertemuan yang sama menjelaskan pandangannya dengan terperinci kenapa PAS kalah dalam pilihan raya ini. "Punca utama adalah undi pos yang tidak telus...bukan pilihan raya ini sahaja, proses pengundian undi pos di mana-mana sahaja dalam negara ini tidak telus.
"Bagi saya, inilah punca utama kemenangan besar Umno," kata beliau yang berada di Bagan Pinang sejak sebelum hari penamaan calon lagi. Selain Bagan Pinang, Barisan Nasional (BN) khasnya Umno sudah dikira menang di mana-mana sahaja kawasan Dun yang mempunyai undi pos melebihi 5,000. "Selain Bagan Pinang, Umno sentiasa menang di Dun Pangkor (kawasan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir) yang mempunyai 12,000 undi pos dan Sungai Udang yang mempunyai 10,000 undi pos," beritahu Mustafa. Oleh itu, beliau berpendapat, undi pos perlu dikaji semula bukan kerana dengki kepada Umno tetapi supaya negara ini dilihat mempunyai sistem pilihan raya yang telus. "Saya cadangkan, undi pos dikekalkan kepada pelajar dan diplomat yang berada di luar negara serta petugas SPR sahaja...yang lain undi biasa. "Pusat pengundian boleh dibuat di luar pagar kem pun tidak apa, asalkan parti-parti yang bertanding boleh menyaksikan dengan telus proses pilihan raya berjalan," katanya.
Selain faktor undi pos, Mustafa yang juga bekas Pengarah Pilihan raya PAS sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung berpendapat, faktor kelemahan PAS dan Pakatan Rakyat sendiri di Bagan Pinang juga menjadi faktor. "Bayangkan PAS hanya mempunyai 100 ahli sahaja di sini dengan hanya dua cawangan sedangkan Umno ada 30 cawangan di sini," katanya. Namun begitu, beliau menolak, masalah yang berlaku dalam Pakatan Rakyat di Selangor sebagai satu punca utama undi PAS merosot di kalangan orang Cina. "Kalau isu itu memberikan kesan, sepatutnya ia memberi kesan di Permatang Pasir lagi kerana isu di Selangor meletup menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir...kenapa di sana tidak?" soal beliau. Untuk undi kaum India pula, Mustafa berpendapat, antara puncanya adalah kegagalan PAS dan Pakatan Rakyat untuk menembusinya kerana dikawal ketat termasuk oleh gengster. Di samping itu, curahan wang dan benda untuk mereka juga memihak kepada BN di samping kelemahan perkhidmatan para wakil rakyat Pakatan Rakyat sebelum ini. Namun beliau percaya, pilihan raya kecil ini bukan satu batu asas (bechmark) kepada pergerakan politik di negara ini kerana ia bukan satu neraca yang tepat untuk melihat politik Malaysia secara keseluruhannya.

Friday, October 2, 2009


Pilihan Raya Kecil: Isa dicalonkan:BN sekadar mahu menang

Oleh Lim Hong Siang
Keputusan UMNO-BN meletakkan Isa Abdul Samad sebagai calon pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang di Negeri Sembilan dilihat sebagai strategi untuk memastikan kemenangan di genggaman BN. Walaupun UMNO-BN berdepan dengan dilema ketika membuat pilihan, namun terpaksa akur kepada desakan penyokong bekas Menteri Besar ini.Media cetak bahasa Cina masing-masing menganggap bahawa kelebihan memihak kepada UMNO-BN, setelah gagal mengecapi kemenangan dalam tujuh PRK selepas PRU ke-12 di Semenanjung Malaysia. Namun, kelebihan ini datang dengan risiko dan tekanan. Seandainya kubu UMNO-BN ditembusi kali ini, maka ia akan mencetus krisis kepada regim ini.
Kwong Wah Yit Poh
Lidah pengarang Kwong Wah Yit Poh pada 1 Oktober memetik kenyataan pemimpin veteran UMNO seperti Mahathir dan Tengku Razaleigh untuk mengolah faktor yang menghantui Isa Samad. Malah, Kwong Wah Yit Poh berkata bahawa Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin pernah menyatakan bahawa calon yang tercalar imej moralnya harus dielakkan, lantaran iktibar yang diperolehi selepas kecundang dalam PRK Permatang Pasir.Namun, Lidah Pengarang ini mengakui bahawa tiada calon yang setanding dengan Isa Samad yang sudah lama berakar umbi di Teluk Kemang. Malah, apabila penyokong tampil menyatakan hanya Isa pilihan mereka, maka BN tidak berani mengingkari suara rakyat, dan terpaksa mengakur kepada realiti.Demi kepentingan parti UMNO dan BN, maka etika politik diketepikan, dan mustahil untuk melarang Isa daripada kembali ke gelanggang. Lidah pengarang menyimpulkan bahawa ini merupakan peluang terakhir buat Isa Samad untuk kembali semula ke arus perdana politik UMNO.

Oriental Daily
Oriental Daily pada 30 September menyiarkan analisa Lum Chih Feng, yang meramalkan bahawa pencalonan Isa Samad semestinya mengundang kritikan pembangkang seperti "ketandusan calon". Tetapi, Lum berpendapat andaian bahawa permainan isu ini secara berlebihan bakal memberi kesan hanyalah tanggapan PR semata-mata, kerana apa yang dirasai pengundi tempatan mungkin membeza.Pada 1 Oktober, Lum menggariskan angka 2,333 sebagai "KPI" untuk BN. 2,333 undi majoriti telah diperolehi UMNO-BN dalam PRU ke-12 di kawasan yang sama. Oleh itu, seandainya undi majoriti yang diperolehi Isa Samad kali ini lebih rendah dari 2,333, ia bukan sahaja memberi kesan terhadap Najib dan BN, malah pengaruh Isa juga tidak sehebat yang disangkakan.Lum menyimpulkan bahawa tekanan kini berada di pihak Isa, dan bukannya dari calon PAS, Zulkifli Omar.
China Press
China Press pada 1 Oktober menyiarkan kenyataan media MCA Negeri Sembilan, yang menyatakan sokongan terhadap Isa Samad. MCA Negeri Sembilan menyenaraikan lima faktor, iaitu berpengalaman, membangunkan negeri semasa menjawat Menteri Besar, mesra rakyat, orang tempatan dan disenangi ketiga-tiga kaum terbesar.
Sinchew Daily

Sinchew Daily pada 1 Oktober menyiarkan analisa Lim Sue Goan, yang meramalkan kemungkinan BN untuk menang kali ini, setelah kekalahan yang berturut-turut.Lim Sue Goan menyatakan makna di sebalik PRK ini, seandainya PR berjaya mengurangkan majoriti undi UMNO-BN kali ini. Pertama, ini merupakan PRK pertama di selatan Semenanjung Malaysia, untuk menguji kekuatan PR di selatan Selangor dan Kuala Lumpur.Keduanya, PAS hanya berkubu di negeri majoriti Melayu (Malay-heartland), seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Namun, PAS gagal menembusi negeri yang "lebih majmuk".Ketiganya, PRK ini sebagai ujian terhadap kerjasama antara DAP dan PAS, terutamanya selepas beberapa konflik yang berlaku baru-baru ini.Selain itu, Tay Tian Yan pula mengetengahkan pandangannya dalam kolum melalui satu peristiwa yang berlaku dalam sejarah Amerika Syarikat. Ketika Bill Clinton bertanding untuk jawatan Presiden pada tahun 1992, beliau mengemukakan idea "Demokrat Baru" (New Democrats) sebagai idea untuk membina semula Democratic Party.Pasukan "think tank" Clinton lebih cenderung untuk mencarikan seorang calon yang langsung berbeza dari latar belakang Clinton, misalnya usia yang lebih lanjut, berasal dari kawasan Utara dan demokrat yang lebih "tradisional", untuk digandingkan dengan Clinton.Tetapi, Clinton menongkah arus dan memilih Al-Gore yang juga berasal dari kawasan Selatan, lebih muda dan mendukung idealisme untuk reformasi. Apabila ditanya sebabnya, Clinton menjawab, "I could die"(saya mungkin mati).
Apa yang dimaksud adalah, seandainya Clinton meninggal dunia dalam tempohnya, maka penggantinya ialah Timbalannya. Seandainya Clinton digantikan seorang yang "tradisional", maka Democratic Party akan kembali ke jalan lamanya; langkah "reformasi" akan menemui jalan buntu di situ.Sebaliknya, seandainya orang yang dinaikkan itu ialah orang muda yang berkongsi idealisme yang sama dengan Clinton, maka beliau akan meneruskan langkah reformasi yang dianjurkan Clinton. Dengan kata lain, kemenangan pilihan raya bersifat sementara, tetapi perubahan dan reformasi adalah sesuatu yang berpanjangan.Tulisan Tay berakhir dengan maksud yang berlapik, "pengamal politik di Timur walaupun masak dengan cara permainan pilihan raya, tetapi mengabaikan intipati yang terkandung dalamnya."*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan akhbar bahasa Cina. Akhbar yang dirujuk bertarikh 30 September dan 1 Oktober, berkisar pada pemilihan Isa Abdul Samad sebagai calon BN di PRK Bagan Pinang, Negeri Sembilan.