Perkembangan masa depan politik Sabah kelihatan agak menarik kebelakangan ini. Tahniah kepada pemain-pemain politik Sabah kerana menjadi man on the spot yakni orang yang paling mendapat tumpuan sejak berakhirnya Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu. Media sentiasa menanti dan bersedia menangkap apa sahaja ayat yang diluahkan dari mulut pemain politik Sabah. Walaupun isu kenaikan harga bekalan makanan terutama beras adalah isu hangat yang perlu diberikan perhatian, perkembangan mutakhir politik Sabah memerlukan kerajaan BN memberikan tumpuan yang lebih kepada Sabah dan tuntutan pemimpin BN Sabah. Kerajaan boleh saja mengumumkan pelbagai pelan, subsidi, dan peruntukan khas membendung kenaikan harga barangan bagi memuaskan hati rakyat agar tidak memberontak. Tetapi isu penghijrahan pemimpin BN Sabah adalah sesuatu yang sangat sulit untuk ditangani kerana isu yang dibawakan bukanlah seperti isu beras yang baru sahaja timbul akibat ketidakstabilan ekonomi dunia. Isu Sabah adalah mengenai tuntutan terhadap kenaikan royalti yang memang menjadi hak Sabah, isu ketidakadilan terhadap Sabah yang warganya mendapat layanan kelas kedua, isu ketidakseimbangan pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah walaupun Sabah mempunyai sumber hasil bumi yang bernilai.
Di pihak Barisan Nasional, mereka sentiasa diulit mimpi ngeri takut kehilangan kuasa memerintah sekiranya spekulasi penghijrahan pemimpin BN Sabah ke dalam Pakatan Rakyat menjadi realiti. Mereka lebih rela ianya sekadar mimpi walaupun mimpi ngeri. Kenyataan dan ucapan di Dewan Rakyat oleh ahli-ahli parlimen BN dari Sabah kebelakangan ini membayangkan seolah-olah penghijrahan itu bukan sekadar spekulasi murahan. Datuk Anifah Aman dan Datuk Ghapur Salleh telah memperlihatkan isyarat bahawa mereka tidak main-main dengan tuntutan yang mereka nyatakan. Saya sangat-sangat bersetuju dengan dakwaan Datuk Ghapur bahawa rakyat Sabah diberikan layanan Kelas Kedua selama ini. Datuk Ghapur ada membaca artikel saya agaknya mengenai diskriminasi terhadap rakyat Sabah. Apa yang sangat menarik perhatian saya ialah apabila Datuk Ghapur membayangkan penubuhan sebuah parti baru untuk Sabah menyertai Pakatan Rakyat.
Hal ini telah saya bangkitkan lebih awal sebelum Datuk Ghapur menyuarakannya di parlimen. Bukan hendak mengatakan Datuk Ghapur menceduk idea saya, tetapi itulah sebenarnya kehendak rakyat Sabah yang mempunyai kesedaran. Alhamdulillah rupanya suara kecil anak Sabah ini sealiran pula dengan mereka yang jauh lebih tinggi di atas. Mungkin itulah aspirasi keseluruhan rakyat Sabah yang mahukan pembaharuan dan keadilan. Mengenai penubuhan parti baru, idea ini bukan hendak menafikan kebolehan dan kepercayaan terhadap PKR, PAS, atau DAP sebagai wakil rakyat Sabah. Seperti yang pernah saya nyatakan dalam artikel yang terdahulu, Sabah memerlukan sebuah parti sendiri yang berpusat di Sabah, tetapi ia akan bergabung dalam Pakatan Rakyat untuk menjadi pembangkang yang kuat atau tidak mustahil menjadi Kerajaan Baru Malaysia. Apa relevannya parti baru ditubuhkan boleh anda dapatkan dari artikel saya yang lalu. Salah satu alasan utamanya ialah kita tidak mahu penjajahan bentuk baru yang dimulakan pada 16 September 1963 diperbaharui pula lagi pada hari penghijrahan pemimpin Sabah meninggalkan Barisan Nasional nanti. Cepat atau lambat, hijrah pemimpin Sabah ke dalam Pakatan Rakyat tetap akan berlaku, dan mesti berlaku.
Sabah dan rakyatnya tidak akan selamat di bawah pemerintahan kerajaan Barisan nasional yang dikepalai UMNO. Cuma diharapkan mereka yang akan melompat tidak mempunyai sebarang agenda bersifat kepentingan peribadi. Utamakanlah perjuangan untuk anak-anak Sabah yang telah lama tertindas dan dijajah. Penjajahan terhadap Sabah tidak berakhir pada 16 September 1963, tetapi ianya diperbaharui pada tarikh keramat itu tanpa disedari oleh rakyat Sabah seluruhnya. Semoga tumbangnya kerajaan BN akan membawa Harapan Baru Untuk Sabah, Harapan Baru Untuk Malaysia. Tamatkan penjajahan teruskan perjuangan.
No comments:
Post a Comment