Wednesday, May 7, 2008


Tabung Dapur untuk Darfur: Pernahkah Mawi ke sana?
Azamin Amin Wed May 07, 08 9:39:55 am MYT

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Hrkh) - Bagi membantu lebih dua juta orang pelarian di Darfur, Sudan,'Tabung Dapur Untuk Darfur' telah pun dilancarkan supaya rakyat Malaysia dapat bersama-sama menyumbang dana untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.Perasmian tabung tersebut telahpun disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak pada 30 Julai di Putrajaya dengan kerjasama dan anjuran oleh Dewan Pemuda Masjid Malaysia dan stesen TV3. Untuk menarik lebih ramai penyumbang dan meyakinkan rakyat, seorang ikon telah dipilih untuk menjadi Duta tabung tersebut iaitu Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi. Beliau sentiasa menghiasi iklan TV bagi mempromosi tabung tersebut supaya lebih ramai masyarakat bersimpati dan membantu golongan yang daif di negara tersebut.


Persoalan yang timbul, sehingga kini tidak kedengaran atau kelihatan malah diberitakan tentang pemergian Mawi ke Darfur sejak beliau menjadi Duta seiring tabung itu dilancarkan. "Di sebalik senyuman Mawi yang menghiasi Tabung Darfur itu, kita tidak pula melihat tangisannya di negeri tersebut," kata seorang peminat beliau secara sinis. Ramai pihak mempertikaikan sama ada, Mawi sekadar dijadikan 'tempelan' untuk melariskan sesuatu produk sahaja tanpa mengambil kira kerja-kerja amal yang wajar dilakukan. Sewajarnya Mawi selaku Duta, sudah pun singgah ke Darfur bagi menyelami masalah dan derita rakyat miskin di sana.Sesudah itu, barulah secara 'tulus' dan bersungguh menguar-uarkan kepada orang ramai tentang kepayahan yang dilalui oleh dua juta penduduk di sana.

"Bagaimana nak cerita kalau tidak tahu keadaan di sana? Nak cerita susah dan raih simpati orang tapi tidak tahu apa itu sengsara mereka," kata Salmah seorang penghantar email ke Harakahdaily. "Saya dah tengok di rancangan TV, Mawi sudah pun ke 'United Kingdom' tapi belum lihat lagi ke Darfur," katanya lagi.
Justeru ramai pihak mahu Mawi tidak sekadar dijadikan sandaran untuk tujuan komersial mahupun kebajikan namun tidak 'menghayati' sebarang produk yang dipromosikan. Mungkin penaja tabung atau Mawi perlu melaksanakan 'pertikaian' itu dengan kadar segera kerana tabung tersebut telah diperkenalkan di peringkat nasional dan mendapat perhatian ramai. Sebelum ini dalam satu kenyataan Dewan Pemuda Masjid dalam laman web mereka menyatakan bahawa 'Kebersamaan Mawi diharap akan dapat merangsang anak muda agar turut menjayakan projek tabung dapur untuk darfur ini.

"Harapan kami, Mawi akan menjadi 'agen' penting dalam menyedarkan anak-anak muda dan belia kita tentang nasib serta penderitaan penduduk Darfur jauh di benua Afrika sana," kata laman web berkenaan. Kini ramai juga tertanya-tanya dengan slogan yang pada peringkat awal kemunculan Mawi di dunia seni yang kini sudah tenggelam sepi :'Belia Benci Dadah'. Seharusnya slogan itu wajar diteruskan dan dalam masa yang sama Mawi mesti turut serta dalam kempen-kempen mencegah gejala pengunaan Dadah secara drastik, memandangkan beliau dianggap sebagai ikon remaja dan 'contoh' tauladan kepada sesiapa yang mahu berjaya,kata sesetengah pihak yaang prihatin dengan perjalanan seni beliau.

Kepada yang ingin menghulurkan sumbangan, mereka boleh melakukannya terus ke akaun TABUNG DAPUR UNTUK DARFUR TV3 melalui akaun Maybank bernombor 514271-339000 atau menerusi laman web www.mayban2u.com atau mengirim cek berpalang dialamatkan ke TABUNG DAPUR UNTUK DARFUR (TDD TV3) No 3, Sri Pentas, Persiaran Bandar Utama, 47800, Petaling Jaya.

No comments: