Sunday, June 22, 2008


Pakatan Rakyat akan buat Usul Undi Tidak Percaya bila tiba masa sesuai


Oleh YB Kamaruddin Jaafar


Pakatan Rakyat tidak akan membentangkan usul untuk membuat undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di Dewan Rakyat, Isnin depan atau dalam masa terdekat. Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata semua parti komponen Pakatan Rakyat termasuk daripada Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan hanya berbuat demikian pada masa yang difikirkan sesuai. “Tidak betul dakwaan kata kami hendak bentang usul tidak percaya kepada Perdana Menteri pada Isnin ini, siapa yang buat kenyataan macam itu? “Kami hanya akan buat pada masa akan datang, bukan pada masa terdekat, kerana tidak mahu tergesa-gesa,” katanya yang juga Setiausaha Agung PAS ketika diminta mengulas pihak yang akan membentang atau mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Isnin ini.



Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata usul undi tidak percaya terhadap Abdullah tidak akan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin ini kerana ia perlu melalui beberapa proses serta prosedur tertentu. Nazri berkata, beberapa peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat (buku peraturan yang mengawal selia perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat) berhubung pembentangan usul atas sebarang perkara perlu dipatuhi terlebih dulu. Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, Pas sudah tentu bersama-sama dengan rakan kongsi dalam pakatan untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah.Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pihaknya akan bermesyuarat bersama pemimpin Pakatan Rakyat terlebih dulu sebelum membuat keputusan siapa yang akan mengemukakan usul berkenaan. “Parti akan buat keputusan bersama, kami akan ada perjumpaan terlebih dulu, dalam masa terdekat ini. Tidak tahu siapa yang akan kemukakan, siapa yang akan bentang,” katanya enggan mengulas lanjut.
Penasihat DAP yang Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, berkata tidak timbul soal siapa atau bila pihaknya akan mengemukakan notis berkenaan kerana isunya kini ialah Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee mengisytiharkan partinya hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Abdullah.



“Saya tidak kata saya akan kemuka (usul) dan tidak setuju atau bersetuju dengan tindakan Yong. Itu semua tidak timbul, apa-apa pun tengok keputusan Majlis Tertinggi Barisan Nasional yang bermesyuarat hari ini (semalam),” katanya. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata pihaknya masih belum menerima sebarang notis usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri daripada mana-mana pihak untuk dibentangkan Isnin depan. Beliau berkata, bukan tanggungjawab pihaknya menunggu wakil berkenaan menghantar usul untuk dibentangkan di Dewan Rakyat, Isnin depan. “Kami semua buat kerja masing-masing, tidak tunggu mereka, kalau mereka (parti) hendak kemuka usul bagi dibentang di Dewan Rakyat Isnin ini, mesti buat segera sebelum pagi Jumaat ini. Pada masa itu pun boleh juga, tapi ia akan dibentang kemudian,” katanya.
Pandikar Amin berkata, pihaknya akan meneliti usul itu terlebih dulu sebelum membuat keputusan menerima atau menolaknya mengikut peraturan yang ditentukan.



“Cakap (orang politik) dalam media memang senang tetapi kalau usul tidak betul, ikut peraturan, tiada alasan konkrit ia boleh ditolak begitu saja. Itu tidak mengejutkan kerana ia memang berlaku kepada mereka yang faham dan mengamalkan undang-undang,” katanya.

No comments: