Sunday, August 23, 2009

"Fahaman" Nakhaei Ahmad, Dr.Abdul Shukor Husin dan Muhyiddin Yassin
"Saya berasa teramat keliru dengan sikap YDP Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Datuk Nakhaei Ahmad yang menggesa TG Nik Abdul Aziz Nik Mat "berhenti daripada politik dan meletak jawatan dalam parti serta Menteri Besar Kelantan berikutan kenyataannya yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar".Saya mohon penjelasan daripada Datuk Nakhaei Ahmad "apakah kenyataan TG Nik Abdul Aziz yang dikatakannya menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar itu".Saya juga mencabar Datuk Nakhaei Ahmad supaya beliau memperincikan dengan bukti dan dalil akan tuduhannya bahawa "banyak kepercayaan PAS bertentangan dengan Islam". Saya tetap berkepercayaan dan berkeyakinan bahawa 'fahaman' dan 'pegangan' Datuk Nakhaei sebenarnya sesat lagi menyesatkan sehinggalah beliau berjaya menghilangkan keraguan dan kekeliruan saya terhadap kenyataan, fahaman dan pegangan beliau sendiri.
Lebih mengelirukan saya ialah kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin yang "memutuskan ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak milik Allah SWT". Nampaknya, seolah-olah Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysialah yang membuat keputusan memberikan hak kepada Allah SWT untuk menentukan nasib seseorang itu, sama ada ke syurga atau ke neraka! Subhanallah!Tambah mengelirukan saya ialah kenyataan Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor :"Saya mengharapkan politik itu tidak mengatasi agama". Saya berpendapat, kenyataan beliau ini jelas menggambarkan bahawa beliau memisah dan mengasingkan agama daripada politik atau politik daripada agama. Saya nak tanya: apa hukumnya jika benar seseorang itu memisah dan mengasingkan politik daripada agama?
Saya juga mendesak Dr. Abdul Shukor menjelaskan bagaimana sebenarnya politik boleh mengatasi agama?Lebih mengelirukan saya ialah kenyataan peringatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin : "Ini soal politik. Bila politik dicampur aduk dengan agama ... bahaya". Tidakkah cukup jelas kenyataan beliau ini membuktikan bahawa Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, TPM Malaysia sendiri memisah dan mengasingkan politik daripada Islam! Saya menunggu penjelasan yang benar, ikhlas serta jujur. SS Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dipersilakan menolong; mudah-mudahan terselamatlah umat Islam Malaysia daripada kebobrokan aqidah yang saya berasa seolah-olah disengajakan oleh pihak pemerintah yang lebih mengutamakan dunia yang fana ini daripada akhirat yang kekal abadi."

No comments: