Friday, August 1, 2008




Seluruh jentera pilihan raya PAS bantu Anwar di Permatang Pauh



KUALA LUMPUR 1 Ogos (Hrkh) - PAS akan menggerakkan jentera parti itu di seluruh negara bagi membantu Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim memenangi semula kerusi Parlimen Permatang Pauh setelah dikosongkan oleh penyandangnya, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden KeAdilan, kelmarin. Demikian dijelaskan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar ketika mengulas pilihan raya kecil yang bakal diadakan di Permatang Pauh dalam masa terdekat ini.


"Saya percaya, pengundi Permatang Pauh tidak ada masalah dengan Anwar yang sinonim dengan kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi oleh Harakahdaily.
Mahfuz memberi jaminan, sekalipun pilihan raya kecil itu diadakan pada bulan Ramadhan, PAS akan tetap menurunkan jentera pilihan rayanya bagi mempastikan calon BN yang bertanding, tumpas ditangan Anwar. Malah tegas beliau, jika pilihan raya itu diadakan pada bulan Ramadhan ini, ia pasti akan meningkatkan semangat petugas-petugas PAS kerana Ramadhan adalah bulan penuh dengan pujian bagi melipat ganda usaha dan menambahkan pahala. "Itu juga satu motivasi untuk kita bekerja dengan lebih kuat bagi mempastikan kemenangan," katanya.


Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap pilihan raya tersebut akan berjalan dengan baik dan lancar, tanpa sebarang provokasi dan insiden yang tidak diingini berlaku. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga, tegasnya perlu berlaku adil dan telus dalam menangani sebarang isu yang boleh menghalang Anwar dari bertanding. Beliau turut memuji pengorbanan Wan Azizah yang bersedia mengosongkan kerusi Permatang Pauh bagi memberi laluan Pakatan Rakyat berkuasa memerintah selepas ini, dengan kemenangan yang bakal dijana oleh Anwar di kawasan tersebut.- tmj _
-->

Umno usah ajak PAS, sedia serah kuasa kepada Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Hrkh) - Umno-BN disarankan agar bersiap sedia untuk menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat ini.Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar juga turut mengingatkan agar Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menggunakan kesempatan yang ada untuk menunaikan amanah dalam ruang waktu yang masih ada. "Jagalah kerajaan yang tidak berapa hari sahaja lagi masih ada kerana ia akan berubah tidak lama lagi, sekali gus Umno akan kehilangan kuasa tersebut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily. Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menegaskan bahawa pihak Umno tidak perlu membuang masa memberi tawaran mahupun pelawaan untuk berkongsi kuasa dengan dengan PAS.


"Tidak usahlah buang masa dengan memberi tawaran kepada PAS, kerana kami tidak ada keinginan untuk menerimanya. "Sebaliknya kami menawarkan ahli-ahli parlimen BN untuk menyertai Pakatan Rakyat untuk sama-sama membina Malaysia Baru demi kepentingan rakyat pada masa akan datang," ujarnya. Mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang semalam, Mahfuz berharap keputusan Mesyuarat bersama Jawatankuasa Kerja Pusat dan Majlis Syura Ulama telah merungkai segala kekaburan semua pihak khususnya ahli dan para pengundi.


"Jelas PAS tidak mempunyai sebarang niat untuk mengkhianati perjuangan rakyat yang telah memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kepimpinan negara," katanya. Tambahnya walaupun hasrat tersebut masih belum kelihatan, beliau berharap akan berlaku satu perubahan kepada kepimpinan negara dalam tempoh terdekat ini. Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Ustaz Mohd Daud Iraqi pula meminta para ahli bertenang serta meneliti pendirian yang telah ditetapkan oleh pimpinan parti selepas mesyuarat yang diadakan semalam.

"Kita harap segala kecelaruan yang timbul sebelum ini tidak lagi timbul selepas ini," ujarnya lagi. Tegasnya, kepimpinan parti telah sepakat membuat ketetapan bahawa segala keputusan yang dibuat hendaklah dipatuhi oleh semua pihak. - mns_