Sunday, March 28, 2010

Mursyidur Am: Nik Aziz redha untuk berundur


Berita Oleh Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 27 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dangan gesaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar kalimah Allah digunakan bagi menggantikan perkataan Tuhan dalam prinsip pertama Rukun Negara.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, penggunaan kalimah Allah itu mampu merungkai kekeliruan dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.


"Sekarang ni rakyat keliru, Allahpun Tuhan, Nabi Isa pun Tuhan, kubur keramat pun tuhan, jadi hak mana sebenarnya tuhan, tapi kalau kita pakai satu nama Allah sahaja, yang mereka tertanya-tanya tu, kita sedia bagi penjelasan yang mana satu tuhan sebenarnya," ujarnya pada sidang media di Majlis Ramah Mesra Warga Orang Kurang Upaya (OKU) di Perdana Resort hari ini.

Turut hadir di majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood dan Pengarah Urusetia, Abdul Aziz Yunus, Setiausaha Sulit khas, Rosdi Abdullah dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Isu pindaan perkataan Allah pada prinsip Rukun Negara dibangkitkan Abdul Hadi sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ujar Tuan Guru Nik Aziz lagi, jika masih timbul kekeliruan berhubung penggunaan perkataan Allah itu, PAS bersedia mengambil tanggungjawab memberi penjelasan kepada masyarakat.

Mengulas kedudukannya sebagai Mursyidul Am PAS pula, beliau sedia memikul amanah tersebut jika terus diberi kepercayaan oleh parti.

Namun, beliau juga menyatakan kesediaan untuk berundur jika parti mempunyai pengganti yang lain.

Ketika ditanya Jom Heboh di Kelantan pula, Nik Aziz berkata, kerajaan negeri akan sentiasa membuat apa yang sedia ada,namun akan dipantau dan diselaraskan dengan undang-undang dan berkaitan yang wajib mematuhi enakmen hiburan Kelantan.

"Tuan-tuan kena ingat, Islam ni orang lain kata tak boleh, tapi kita kata boleh, mereka pula akan kata adanya huru-haralah bila Islam memerintah, kemunduran dan sebagainya, ertinya walaupun mereka ini Islam, mereka ini mengatakan Islam tidak boleh,"katanya lagi.

Nik Aziz berkata pembentukan kerajaan Kelantan masa kini adalah hasil daripada kepercayaan rakyat dan akan diselaraskan dengan kehendak Islam termasuklah dalam hiburan.

"Alhamdulillah, Jom Heboh dapat berjalan dengan baik, tetapi kita baiki apa yang ada dalam program mereka ini agar selari dengan peraturan hiburan dalam negeri kita.

"Kita akan terima jika Jom Heboh ingin diadakan pada tahun hadapan sekiranya mereka akur dengan kehendak kerajaan," kata beliau.

- Petikan Harakahdaily

......
Versi yang jelas lagi

Nik Aziz Redha Ketepi, Gantinya Dr Haron Atau Tuan Ibrahim..

Tuan Guru Nik Aziz

KOTA BARU, Mac27, 10: BERNAMA hari ini melaporkan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan “rasa bahagia” jika Majlis Syura yang bermesyuarat Isnin ini tidak melantiknya semula sebagai Mursyidul Am PAS.

Katanya beliau tidak kisah jika orang lain dilantik menyandang jawatan tersebut kerana seringkali meminta timbalannya menjadi wakil dalam mesyuarat-mesyuarat yang diadakan. Nik Aziz mengakui rekod buruknya kerana banyak tidak menghadiri majlis-majlis rasmi membabitkan peringkat pusat parti itu.

“Banyak saya tidak hadir, rekod kehadiran saya pun buruk di pusat.

“Jadi ketika mesyuarat banyak diwakilkan kepada timbalan saya, Datuk Dr Haron Din.

“Jadi saya rasa bahagia kalau orang ketepikan saya, kerana burukkan rekod saya sendiri,” jelas Menteri Besar Kelantan ini.

Nik Aziz bagaimanapun tidak akan menolak sekiranya beliau terus dilantik kembali untuk menduduki kerusi jawatan tertinggi parti itu.

“Kalau dicalonkan balik, terimalah... apa boleh buat. Tapi saya banyak tak hadir sebelum-sebelum ini.

“Kalau penting sangat, orang telefon berkali-kali baru saya hadir,” katanya.

Menjawab calon bakal penggantinya sekira tidak dipilih, Nik Aziz tidak menafikan kemampuan pimpinan PAS lain untuk menggantikan tempatnya. “Dalam PAS sekarang makin ramai orang yang berkebolehan,” ujarnya.

Mesyuarat Selasa lalu telah melantik semula beliau sebagai lima anggota Majlis Syura. Majlis itu akan bermesyuarat Isnin ini dengan kuorum penuh untuk menentukan Mursyidul Am bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, Nik Aziz menyokong cadangan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda prinsip pertama Rukun Negara daripada “Kepercayaan Kepada Tuhan” kepada “Kepercayaan Kepada Allah”. Rasional Nik Aziz terhadap cadangan itu antaranya boleh menamatkan kekeliruan di kalangan masyarakat dalam persoalan kalimah Allah dan Tuhan.

“Betul... betul... ya, sebut Tuhan... Tuhan, kubur keramat pun orang panggil Tuhan juga, berhala orang panggil Tuhan, banyak lagi Tuhan ini kan?

“Jadi kita kena tentu mana yang sebenar. Malaysia tak menetukan siapa Tuhan.

“Macam orang Melayu Malaysia ini pun tak tahu lagi Allah ke Tuhan, atau kubur keramat, tak boleh... perlu diketatkan Tuhan yang sebenar,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra Bersama NGO-NGO Warga Kurang Upaya (OKU) di Perdana Resort hari ini. (AK)

Komen Blog Ibnu Hasyim: 'Bahagia diketepikan', 'tidak menolak' kalau dilantik. Ertinya redha terima apa saja. Ada juga orang sebut-sebut, yang lebih dekat untuk menggantikannya ialah antara Dr Haron Din atau Tuan Ibrahim Tuan Man. Wallahu 'aklam.(IH)

http://www.ibnuhasyim.com/2010/03/nik-aziz-redha-ketepi-gantinya-dr-haron.html

PERKASA Kalau Bertanding Pilihanraya, Dah Lama Bungkus..


Artikel Oleh: addin_77

"
Sebenarnya aku cukup meluat dengan Ibrahim Ali dari mula-mula dia bertanding atas tiket bebas yang pro-PAS di Parlimen Pasir Mas lagi. Aku tak percaya yang Ibrahim Ali ini mahu berubah dan menerima perjuangan PAS seadanya. Last-last Tok Guru pun dia kelentong habis. Sekarang apa dah jadi kat Ibrahim Ali. Tiba-tiba timbul PERKASA, yang konon-kononnya memperjuangkan bangsa Melayu yang lebih dari UMNO lagi.


Pada pandangan aku lah sebenarnya, tujuan ditubuhkan PERKASA adalah atas kapasiti peribadi Ibrahim Ali yang tak tahu hujung pangkal karier politiknya. Manakan tidak, UMNO dah 'black list' nama Ibrahim Ali seumur hidup. Manakala PR tentu tidak akan terima lagi makhluk perosak spesis katak macam Ibrahim Ali ni. Jenis manusia macam ni dia kan belit semua orang disekelilingnya. Bak senang cakap, jangan kawan orang seperti ini biar dia mati beragan sorang-sorang.

Hari ni mungkin hari bersejarah kepada Ibrahim Ali dan kuncu-kuncunya. AGM PERKASA kali pertama dirasmikan dengan penuh istiadat keMelayuan. Kononnya, Ibrahim Ali lebih Melayu daripada Melayu-Melayu yang lain. Beberapa kontroversi berlaku sebelum AGAM bermula, seperti minggu lalu, tetamu kehormat yang diundang ke AGM Perkasa di PWTC menolak jemputan berkenaan. Sultan Selangor membuat pembatalan itu bagi mengelakkan salah tanggapan dan manipulasi pihak-pihak tertentu terutamanya dalam keadaan politik sekarang. Tindakan yang sama diambil oleh beberapa CEO daripada syarikat yang berkepentingan kerajaan (GLC) selang beberapa hari kemudian.

Pembatalan kehadiran VVIP tersebutnya adalah sebenarnya tak nak terlibat dengan sentimen perkauman yang menebal dalam PERKASA. Agenda perkauman sudah tidak relevan dalam dunia masakini. Ucapan-ucapan yang berapi-api yang berbaur perkauman hanya akan menyemarakkan lagi api perkauman. Masyarakat Malaysia sudah matang berpolitik wahai Ibrahim Ali, ini terbukti dengan kekalahan UMNO BN dalam PRU ke 12. UMNO BN adalah parti yang berpaksikan kebangsaan, perjuangan kebangsaan mereka retorik semata-mata demi kelangsungan politik mereka.

Aksi kau menjulang keris hanya akan menimbulkan bibit kebencian dan kemualan masyarakat terhadap kamu dan kuncu-kuncu kamu. Nescaya Ibrahim Ali, jikalau PERKASA bertanding pilihanraya kamu akan bungkus awal-awal dan di talkinkan....

Monday, March 22, 2010

Ezam tidak kenal Anwar, sebab itu dia kluk-klek



Artikel Oleh Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 22 Mac: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ezam Mohd Nor tidak mengenali Anwar sebenarnya.

Kerana tidak kenal itulah menyebabkan sikap beliau berubah-ubah atau kluk-klek, sekejap sokong dan sekejap lagi menentang Anwar.

“Saya pun kenal juga (Anwar Ibrahim). Dia kenal, saya pun kenal. Jadi tak usahlah mendakwa yang pelik-pelik sangat.

“Saya boleh terima nasihat dia, tetapi (jangan) sampai kepada peringkat (seolah-olah) macam saya tidak kenal siapa Anwar Ibrahim. Saya kenal Anwar semasa dia berada dalam ABIM lagi.

“Saya terima nasihat dia (Izam), tetapi saya juga menasihatkan dia jangan banyak ubah pandangan.

“Ini kerana kalau dia kenal Anwar Ibrahim, kenapa dahulu dia mendekati tetapi sekarang kenapa pula dia lawan. Ini menunjukkan dia tidak kenal. Namun saya kenal Anwar Ibrahim dahulu sampai sekarang.

“Izam tidak kenal, sebab itulah dia (bersikap) sekali rapat, sekali marah, itu menunjukkan tidak kenal,” tegasnya yang juga Mursyidul Am PAS.

Nik Aziz mengulas nasihat mantan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Izam Mohd Nor supaya (Nik Aziz) menjauhi Anwar Ibrahim.

Ini kerana, mengikut dakwaan Izam bahawa dia lebih mengenali siapa dia Anwar Ibrahim.


- harakahdaily

Sunday, March 7, 2010

Dari Minda TGNA:Mufti atau Mufta?



Artikel Oleh: ahmadfadhli

"Terkilan saya apabila Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria menyebut nama saya secara terbuka di khalayak. Samada di dalam mesyuarat atau persidangan dewan, menyebut nama seseorang dalam ucapan secara terbuka biarlah dengan kehadiran tuan punya badan. Sekurang-kurangnya, bolehlah kata-kata tersebut disahkan atau dinafikan.Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika. Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya. Adil juga jika saya menukilkan dahulu sebahagian ucapan beliau di program Dialog Za’ba, Perpaduan Melayu: Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), minggu lepas. Antaranya beliau berkata,

“Kenapa Pas tidak boleh bergabung untuk membentuk kerajaan yang sudah pasti akan memperoleh majoriti 100 peratus Melayu memerintah.

“Saya telah berjumpa dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan dan berbincang hampir dua jam, pada awalnya beliau tidak bersetuju tetapi akhirnya dia kata idea itu bagus tetapi tidak dapat memberi keputusan kerana ia bergantung kepada Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya maklumkan bahawa tidak berapa rapat dengan Hadi, jadi jika cadangan itu baik saya minta beliau (Nik Aziz) maklumkan kepada Hadi. Semasa dalam perjalanan balik iaitu berada di Cameron Highlands, Hadi telah hubungi saya dan bersetuju dengan cadangan itu.

“Tetapi Hadi kata dia tidak boleh buat keputusan kerana ia bergantung pada negeri iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri (Ahmad). Saya juga telah hubungi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan dia juga bersetuju,”

Saya ingin menyentuh berkaitan kenyataan yang menyebut beliau datang ke rumah saya. Benar atau tidak, terserahlah kepada khalayak. Bagi saya, ini di antara beliau dan saya. Cuma pertanyaan saya, tidakkah itu satu keterlibatan dengan politik? Sedarkah beliau bahawa kerajaan Perak yang dirampas dari tangan rakyat hari ini didokong oleh UMNO, sebuah parti yang meyakini bahawa politik dan agama tidak boleh bercampur? Dalam bahasa mudahnya, politik suku agama suku. Jika mufti sendiri sanggup turun melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik. Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan PAS adalah benar.

Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO?Inilah yang diperjuangkan oleh PAS. Tegak berdirinya PAS dengan perjuangan menjadikan Islam sebaagai cara hidup. Tidakkah al-Quran sebuah kitab yang syumul? Isinya bukan sahaja akidah, bahkan soal ekonomi, politik, rumahtangga, psikologi dan kaunseling, semuanya ada di dalam al-Quran. Tidakkah ini merupakan tiang seri perjuangan PAS sejak sekian lama? Jika mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam PAS! Jika beliau tidak berpandangan Islam dan politik perlu selari, tetapi terus terlibat dengan politik dengan jubah seorang mufti, maka dengan sendirinya beliau telah menjadi ejen. Dalam kes ini, beliau telah menjadi ejen UMNO. Hilang luruh kemuliaan seorang mufti kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.

Saya kira, jika seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa). Cukuplah sekadar itu respon balas saya terhadap kenyataan beliau.

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Pejabat Menteri Besar Kelantan.

21 Rabiul Awal 1431 / 7 Mac 2010

Tuesday, March 2, 2010

‘Bakal Menteri Besar’ Masih Bermimpi?

Analisis Isu Oleh: ahmadfadhli

"Malaysia bahkan dunia pun mungkin telah mencatat sejarah yang menarik apabila sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia pernah digegarkan dengan kempen agresif UMNO/BN di dalam menawan Kelantan. Bermula dengan kempen ”18 Pade Doh” sehinggalah kepada menabalkan ”Bakal Menteri Besar”, UMNO / BN terus kempunan di dalam menawan Kelantan. PAS terus gagah bersama Pakatan Rakyat meninggalkan hanya 6 kerusi untuk UMNO.Sayangnya, barangkali mimpi bakal menteri besar masih belum habis. Nyata sekali, bakal menteri besar berkenaan, YB Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein masih bermimpi, angin Pantai Bachok yang kadang-kadang kencang gagal mengejutkannya dari mimpi yang diulit oleh bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sendiri. Sayang sekali, mimpi ini semakin beralun indah apabila diberikan teraju mengendalikan duit wang ehsan yang entah dari mana datangnya.Bakal Menteri Besar sekali lagi mengegarkan ketenangan bumi Kelantan.
Kali ini apabila YAB Menteri Besar yang sah dinafikan hak untuk membuat pelepasan pelumba-pelumba Le Tour de Langkawi (LTdL) semalam. Bukanlah soal berebut untuk bermegah-megah, isunya ialah semua pihak perlu tahu di bumi mana mereka sedang berpijak. Bumi Kelantan ada Rajanya, ada Menteri Besarnya, ada rakyatnya yang telah menolak UMNO/BN secara total di dalam pilihanraya yang lepas. Tuan Guru Menteri Besar telah dijemput dari awal untuk membuat pelepasan peserta LTDL. Petang sehari sebelum berlangsungnya pelepasan, Datuk Awang Adek memohon untuk turut hadir bersama. Persetujuan telah dicapai dengan Menteri Besar akan membuat pelepasan diiringi oleh Datuk Awang Adek. Bukankah itu satu kompromi yang baik dan jernih? Setidak-tidaknya Awang Adek tidak dilihat sebagai tidak cerdik. Paling kurang pun sudah mengiringi Menteri Besar sekalipun gagal menjadi Menteri Besar yang sah Pagi hari pelepasan jam 9.15 pagi, pengesahan dibuat bahawa Menteri Besar yang akan membuat pelepasn. Sayangnya, entah sihir apa digunakan, kedatangan Menteri Besar tidak dialu-alukan. Datuk Awang Adek langsung tidak berdiri sewaktu kedatangan Menteri Besar sebagaimana orang lain. Bahkan pada peringkat awalnya, hanya Awang Adek dan Pengarah JPP Kelantan dibenarkan untuk berada di atas pentas manakala Menteri Besar di bawah! Teruk sekali apabila orang yang bermimpi masih belum terjaga!
Akhirnya, yang dijemput membuat pelepasan hanyalah Datuk Awang Adek meninggalkan Menteri Besar yang sah. Konspirasi apa yang dirancang tidaklah diketahui, yang jelasnya kejadian tersebut benar-benar memalukan. Bukan memalukan Menteri Besar, tetapi memalukan Awang Adek sendiri yang langsung tidak menghormati pemimpin negeri yang sah di majlis yang sama.Bak kata YAB Tuan Guru Menteri Besar sebentar tadi di dalam Dun Kelantan, ” Malu hanyalah harta orang beriman. Orang yang tidak beriman tidak malu. Bahkan lembu kerbau juga tidak malu. Orang yang tidak malu kulit mukanya lebih tebal dari kulit kaki..”

AHMAD FADHLI BIN SHAARI
2 Mac 2010 : 11.00AM

Penulis merupakan Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan.