Friday, October 3, 2008


Anwar saja ke yang layak jadi PM ?


Oleh amkns


"Sekiranya Pakatan Rakyat atau bukan Barisan Nasional yang memerintah negara Malaysia ini , adakah Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) seorang sahaja kah yang layak menjadi Perdana Menteri Malaysia ? Untuk rakyat yang mahukan perubahan pimpinan kerajaan , mana yang lebih utama ? Pakatan Rakyat menerajui negara atau DSAI sebagai Perdana Menteri ?Sudah pasti yang utama ialah Pakatan Rakyat menerajui negara. Di kala Barisan Nasional mengenakan pelbagai cubaan untuk menyekat Pakatan Rakyat daripada melakukan perubahan pemerintahan negara , DSAI seharusnya mengubah strategi dan mempelbagaikan strategi sesuai dengan perkembangan politik semasa serta sentimen perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu.


Ketika ini seolah-olah hanya DSAI sahaja yang mampu melakukan perubahan. Apa akan terjadi sekiranya apa-apa berlaku pada diri DSAI , walaupun kita sentiasa mendoakan agar DSAI sentiasa selamat dan dilindungi agar dapat meneruskan agenda perubahan sehingga berjaya ? DSAI sepatutnya sudah menanamkan keyakinan kepada rakyat , penyokong dan ahli Pakatan Rakyat bahawa sekiranya apa-apa berlaku pada dirinya Pakatan Rakyat mempunyai ramai pemimpin untuk meneruskan agenda perubahan. Malah Pakatan Rakyat mempunyai ramai pemimpin yang berkaliber , professional dan berpengalaman untuk dilantik menjadi Perdana Menteri baik dari PKR , PAS , Bebas atau mungkin dari mereka yang akan melompat parti. Oleh kerana seolah-olah sekarang penyokong dan penentang Pakatan Rakyat ditanamkan dalam minda mereka hanya DSAI yang layak jadi Perdana Menteri atau akan jadi PM jika Pakatan Rakyat menerajui negara , maka pelbagai serangan peribadi telah dan akan ditujukan kepada DSAI.


Seperkara lagi selain daripada serangan peribadi terhadap DSAI ialah serangan sentimen perkauman antaranya sekiranya Pakatan Rakyat menerajui negara maka ahli parlimen Melayu akan kurang dalam Pakatan Rakyat, barisan kabinet Melayu akan kurang , Timbalan Perdana Menteri daripada bukan Melayu akan dilantik. Isu ini seharusnya ditangani dengan bijak oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Satu formula kongsi kuasa haruslah diadakan untuk menangani isu ini. Adakah pembahagian jawatan kabinet dan jawatan Timbalan Menteri mengikut peratusan kaum sedia ada yang diamalkan Barisan Nasional , mengikut peratusan pengundi , mengikut peratusan kaum atau mengikut peratusan ahli parlimen dan seterusnya. Selain dari itu kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat serta pimpinan Pakatan Rakyat seharusnya menilai prestasi setiap wakil rakyat dan ahli Parlimen mereka sejauh mana menjalankan tanggungjawab mereka. Ini akan menunjukkan keseriusan dan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk menerajui Malaysia secara amnya.


http://amkns.blogspot.com "

No comments: