Wednesday, November 5, 2008


Menteri Penerangan perlu bertegas isu moral artis



KUALA LUMPUR, 5 Nov (Hrkh) - Menteri Penerangan, Dato' Ahmad Shabery Cheek dinasihatkan agar mengambil tindakan tegas terhadap isu moral berkaitan artis yang kerap didedahkan melalui media. Perkara tersebut disuarakan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mazlan Aliman dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily. Jelas Mazlan, kebelakangan ini tanggungjawab Kementerian Penerangan, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) serta Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dipersoalkan, seolah-olah kesalahan dan perlakuan artis dibiarkan tanpa sebarang tindakan.


Tambahnya, sungguhpun garis panduan dan pemantauan terhadap artis itu telah disediakan, tetapi pemantauan terhadapnya sangat lemah. "Skandal seks, aksi lucah, gambar seksi dan pergaulan bebas didedahkan melalui media termasuk internet dan blog. Perkahwinan selebriti serta perceraian juga mendapat liputan hebat. Tidak kurang juga penglibatan mereka dengan dadah dan aktiviti songsang seperti gay dan lesbian. "Adakah golongan artis mendapat lesen untuk berbuat apa sahaja? Kalau diimbas ketika Tan Sri Mohamed Rahmat menjadi Menteri Penerangan, menyimpan rambut panjang bagi artis pun sudah dikenakan tindakan 'gam' apatah lagi jika kesalahan yang jauh lebih serius seperti hari ini,"katanya.


Presiden Persatuan Anak Penerokan Felda Kebangsaan (Anak) ini juga menegaskan, oleh kerana golongan artis begitu popular dan menjadi idola terutama di kalangan remaja, mereka tidak boleh dibiarkan berbuat sesuka hati.
Mazlan melahirkan kebimbangan sekiranya kegiatan tidak bermoral artis menjadi ikutan ramai yang akan menyebabkan gejala sosial bertambah parah di negara ini. - mks._

No comments: