Sunday, March 28, 2010

Mursyidur Am: Nik Aziz redha untuk berundur


Berita Oleh Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 27 Mac: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dangan gesaan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar kalimah Allah digunakan bagi menggantikan perkataan Tuhan dalam prinsip pertama Rukun Negara.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, penggunaan kalimah Allah itu mampu merungkai kekeliruan dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.


"Sekarang ni rakyat keliru, Allahpun Tuhan, Nabi Isa pun Tuhan, kubur keramat pun tuhan, jadi hak mana sebenarnya tuhan, tapi kalau kita pakai satu nama Allah sahaja, yang mereka tertanya-tanya tu, kita sedia bagi penjelasan yang mana satu tuhan sebenarnya," ujarnya pada sidang media di Majlis Ramah Mesra Warga Orang Kurang Upaya (OKU) di Perdana Resort hari ini.

Turut hadir di majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fatah Mahmood dan Pengarah Urusetia, Abdul Aziz Yunus, Setiausaha Sulit khas, Rosdi Abdullah dan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

Isu pindaan perkataan Allah pada prinsip Rukun Negara dibangkitkan Abdul Hadi sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ujar Tuan Guru Nik Aziz lagi, jika masih timbul kekeliruan berhubung penggunaan perkataan Allah itu, PAS bersedia mengambil tanggungjawab memberi penjelasan kepada masyarakat.

Mengulas kedudukannya sebagai Mursyidul Am PAS pula, beliau sedia memikul amanah tersebut jika terus diberi kepercayaan oleh parti.

Namun, beliau juga menyatakan kesediaan untuk berundur jika parti mempunyai pengganti yang lain.

Ketika ditanya Jom Heboh di Kelantan pula, Nik Aziz berkata, kerajaan negeri akan sentiasa membuat apa yang sedia ada,namun akan dipantau dan diselaraskan dengan undang-undang dan berkaitan yang wajib mematuhi enakmen hiburan Kelantan.

"Tuan-tuan kena ingat, Islam ni orang lain kata tak boleh, tapi kita kata boleh, mereka pula akan kata adanya huru-haralah bila Islam memerintah, kemunduran dan sebagainya, ertinya walaupun mereka ini Islam, mereka ini mengatakan Islam tidak boleh,"katanya lagi.

Nik Aziz berkata pembentukan kerajaan Kelantan masa kini adalah hasil daripada kepercayaan rakyat dan akan diselaraskan dengan kehendak Islam termasuklah dalam hiburan.

"Alhamdulillah, Jom Heboh dapat berjalan dengan baik, tetapi kita baiki apa yang ada dalam program mereka ini agar selari dengan peraturan hiburan dalam negeri kita.

"Kita akan terima jika Jom Heboh ingin diadakan pada tahun hadapan sekiranya mereka akur dengan kehendak kerajaan," kata beliau.

- Petikan Harakahdaily

......
Versi yang jelas lagi

Nik Aziz Redha Ketepi, Gantinya Dr Haron Atau Tuan Ibrahim..

Tuan Guru Nik Aziz

KOTA BARU, Mac27, 10: BERNAMA hari ini melaporkan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau akan “rasa bahagia” jika Majlis Syura yang bermesyuarat Isnin ini tidak melantiknya semula sebagai Mursyidul Am PAS.

Katanya beliau tidak kisah jika orang lain dilantik menyandang jawatan tersebut kerana seringkali meminta timbalannya menjadi wakil dalam mesyuarat-mesyuarat yang diadakan. Nik Aziz mengakui rekod buruknya kerana banyak tidak menghadiri majlis-majlis rasmi membabitkan peringkat pusat parti itu.

“Banyak saya tidak hadir, rekod kehadiran saya pun buruk di pusat.

“Jadi ketika mesyuarat banyak diwakilkan kepada timbalan saya, Datuk Dr Haron Din.

“Jadi saya rasa bahagia kalau orang ketepikan saya, kerana burukkan rekod saya sendiri,” jelas Menteri Besar Kelantan ini.

Nik Aziz bagaimanapun tidak akan menolak sekiranya beliau terus dilantik kembali untuk menduduki kerusi jawatan tertinggi parti itu.

“Kalau dicalonkan balik, terimalah... apa boleh buat. Tapi saya banyak tak hadir sebelum-sebelum ini.

“Kalau penting sangat, orang telefon berkali-kali baru saya hadir,” katanya.

Menjawab calon bakal penggantinya sekira tidak dipilih, Nik Aziz tidak menafikan kemampuan pimpinan PAS lain untuk menggantikan tempatnya. “Dalam PAS sekarang makin ramai orang yang berkebolehan,” ujarnya.

Mesyuarat Selasa lalu telah melantik semula beliau sebagai lima anggota Majlis Syura. Majlis itu akan bermesyuarat Isnin ini dengan kuorum penuh untuk menentukan Mursyidul Am bagi tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, Nik Aziz menyokong cadangan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda prinsip pertama Rukun Negara daripada “Kepercayaan Kepada Tuhan” kepada “Kepercayaan Kepada Allah”. Rasional Nik Aziz terhadap cadangan itu antaranya boleh menamatkan kekeliruan di kalangan masyarakat dalam persoalan kalimah Allah dan Tuhan.

“Betul... betul... ya, sebut Tuhan... Tuhan, kubur keramat pun orang panggil Tuhan juga, berhala orang panggil Tuhan, banyak lagi Tuhan ini kan?

“Jadi kita kena tentu mana yang sebenar. Malaysia tak menetukan siapa Tuhan.

“Macam orang Melayu Malaysia ini pun tak tahu lagi Allah ke Tuhan, atau kubur keramat, tak boleh... perlu diketatkan Tuhan yang sebenar,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra Bersama NGO-NGO Warga Kurang Upaya (OKU) di Perdana Resort hari ini. (AK)

Komen Blog Ibnu Hasyim: 'Bahagia diketepikan', 'tidak menolak' kalau dilantik. Ertinya redha terima apa saja. Ada juga orang sebut-sebut, yang lebih dekat untuk menggantikannya ialah antara Dr Haron Din atau Tuan Ibrahim Tuan Man. Wallahu 'aklam.(IH)

http://www.ibnuhasyim.com/2010/03/nik-aziz-redha-ketepi-gantinya-dr-haron.html

No comments: